Pembinaan Pasar Nelayan Paitan Tingkat Pendapatan Nelayan

PAITAN: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Nelayan Paitan dan mengadakan sesi sembang santai bersama nelayan Paitan pada pagi ini.

Advertisements

Program Pasar Nelayan merupakan salah satu inisiatif Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam usaha meningkatkan pendapatan keluarga nelayan dengan memberi peluang kepada nelayan untuk memasarkan hasil tangkapan mereka secara terus kepada pengguna.

Berucap pada majlis itu, Ronald berkata penglibatan nelayan sebagai peserta di pasar nelayan ini telah membantu dalam peningkatan pendapatan nelayan daripada bawah RM1,000 sebulan kepada melebihi RM2,000 sebulan.

“Pembinaan Pasar Nelayan juga lebih teratur dan berpusat di bawah satu bumbung dengan kemudahan infrastruktur, penggunaan peralatan yang lebih baik dan selesa yang disediakan oleh LKIM. Ia juga dapat dijadikan medium pasaran alternatif hasil laut untuk memasarkan hasil tangkapan nelayan secara terus kepada pengguna terutama di kawasan Paitan.

“MAFI akan terus melihat keperluan dan infrasturuktur seperti pasar nelayan ini yang diperlukan oleh masyarakat nelayan dalam memberi peluang kepada nelayan untuk menjual terus hasil tangkapan mereka secara terus kepada pengguna tanpa penglibatan orang tengah dan secara tidak langsung memberikan pendapatan yang baik kepada nelayan” katanya.

Pasar Nelayan Paitan yang dibina dengan kos peruntukan sebanyak RM200,000 merupakan pasar nelayan yang ke-12 di Negeri Sabah dan merupakan ke-136 di seluruh Malaysia.

Dalam majlis berkenaan, Ronald turut menyerahkan ‘Mock Cheque’ Bantuan Touch Point (Enjin Sangkut) kepada 20 orang nelayan Paitan dengan peruntukan sebanyak RM200,000.

“Kerajaan melalui LKIM sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta terus memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dan sektor perikanan negara,” kata Ronald.

Tambah beliau lagi, Kerajaan melalui MAFI dan LKIM akan terus memastikan kebajikan golongan nelayan yang merupakan antara barisan hadapan sektor agromakanan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan sekuriti bekalan makanan negara.

Turut hadir dalam majlis ini, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Labuk, YB Tuan Samad bin Jambri, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Tuan Yusoff bin Othman, Pengarah LKIM Sabah, Encik Mohd Jamil bin Abdullah, Penolong Pegawai Daerah Kecil Paitan, Encik Joloning Joe Majambu, Pegawai Wilayah LKIM Wilayah II Sandakan, Encik Hasbie Mokti dan Pengerusi Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Paitan, Encik Barjahun Hiyah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles