KENINGAU: Kerusi Parlimen Pensiangan wajar diberikan kepada STARSABAH bagi mewakili Parti Gabungan Rakyat Sabah, kata timbalan presiden STARSABAH Datuk Ellron Angin.
Menurutnya kemenangan penuh di kesemua kerusi DUN yang dipertandingkan di Parlimen Pensiangan merupakan antara faktor utama kewajaran kerusi Pensiangan diserahkan kepada GRS.
Untuk rekod ketiga-ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh GRS pada Pilihanraya Negeri tahun 2020 membuktikan rakyat Pensiangan sememangnya memberikan mandat kepada wakil rakyat GRS untuk mentadbir kawasan Pensiangan.
“Kemenangan yang dikecapi oleh wakil-wakil rakyat GRS pada PRN lepas di kawasan Parlimen Pensiangan adalah satu bukti bahawa rakyat inginkan perubahan terutama sekali dalam mengubah landskap politik Pensiangan,”
kata Ellron dalam ucapannya semasa pelancaran Jentera Pilihanraya P.182 Pensiangan di Pejabat Perhubungan GRS Kampung Biah Tengah pada Jumaat.
Pada PRN tahun 2020 lepas ketiga-ketiga DUN dalam Parlimen Pensiangan dimenangi oleh GRS iaitu DUN Tulid oleh Datuk Flovia Ng (STAR SABAH – GRS), DUN Sook oleh Datuk Ellron Angin (STAR SABAH – GRS) dan kerusi DUN Nabawan oleh YB Datuk Ghani Yassin (Bersatu – GRS).
Selain itu, Ellron yang juga penyandang kerusi DUN Sook memberitahu rakan media bahawa pucuk pimpinan parti GRS dan Perikatan Nasional (PN) telah menjanjikan akan memberikan peluang kepada StarSabah untuk bertanding di Parlimen Pensiangan atas tiket GRS.
“Saya mendengar sendiri daripada Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang merupakan Setiausaha Agung PN berkata kerusi Parlimen Pensiangan akan diberikan kepada StarSabah pada pilihanraya umum yang datang,” katanya.
Oleh itu, adalah wajar bagi STARSABAH, untuk diberikan kerusi tersebut memandangkan sudah dijanjikan serta dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin utama dalam parti komponen Perikatan Nasional.
Disamping itu, beliau dan dua wakil rakyat DUN lainnya dalam Parlimen Pensiangan kesal dengan sikap wakil Parlimen Pensiangan sekarang ini yang tidak ingin memberikan kerjasama erat terutama dalam menumpukan pembangunan ekonomi di kawasan DUN masing-masing.
Ideologi yang berbeza itu mengeruhkan keadaan lagi kerana meskipun berada dalam aliran tampuk pentadbiran negeri dan persekutuan yang sama, ianya akan menyukarkan kerjasama erat antara wakil rakyat DUN dan Parlimen yang seterusnya menyebabkan ketidakseimbangan strata pembangunan dalam setiap DUN, katanya.
“Maka perlulah kita pastikan agar kerusi Pensiangan harus dimenangi oleh GRS bagi melicinkan serta memudahkan pentadbiran antara DUN dan Parlimen selain boleh duduk bersama bagi membincangkan agenda rakyat Pensiangan,” tambah Ellron.
Katanya: “Popular Vote yang kurang pada PRU-14 lepas oleh penyandang kerusi Parlimen Pensiangan sekarang ini juga adalah antara faktor utama kerusi Pensiangan wajar diberikan kepada GRS”.
Pada tahun 2018, Datuk Arthur Joseph Kurup telah berjaya memenangi Parlimen Pensiangan dengan majoriti undi 2, 314 undi berbanding Raymond Ahuar yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat hanya meraih 9,469 undi. Namun pertembungan empat penjuru ketika itu turut menyaksikan kombinasi undian tiga calon lain telah menyebabkan Arthur kurang mendapat Popular Vote.
Dalam perkembangan lain, Ellron turut memaklumkan calon StarSabah yang bertanding dalam tiket GRS belum dapat diputuskan kerana menunggu keputusan sebenar pengumuman calon yang dijangka akan diumumkan pada minggu hadapan.