GAH – UMS anjur pameran CSR untuk pelukis seni naif yang dilanda musibah

KOTA KINABALU: Galeri Azman Hashim Universiti Malaysia Sabah (GAH-UMS) kini sedang mengadakan Pameran Khas Awang Fadilah bermula 3 sehingga 28 Oktober 2022.

Advertisements

Pengarah GAH-UMS Dr. Mohammad Puad Bebit berkata, pameran dibuka kepada orang ramai pada Isnin hingga Khamis bermula pukul 9.00 pagi – 4.00 petang bertempat di ruang pameran Kaamatan.

“Pameran khas ini diadakan dengan kerjasama seorang pelukis seni naif terkenal, Awang Fadilah Ali Hussein.

“Beliau digelarkan sebagai ‘Man Land Below the Wind’ dalam kalangan penggiat seni disebabkan oleh karya yang dihasilkan tertumpu kepada penggunaan warna putih dan hitam, yang bertemakan kepada aspek kebudayaan, kehidupan serta keindahan flora dan fauna yang terdapat di Sabah,” katanya.

Menurut Mohammad Puad, penganjuran pameran itu turut diadakan dengan kerjasama Persatuan Seni Visual Sabah (PSVS).

Katanya, penganjuran pameran tersebut sebagai tanggungjawab sosial (CSR) untuk membantu pelukis yang dilanda musibah.

Untuk rekod, Awang Fadilah pernah meraih pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi tempat kedua ACCU Noma Concours di Tokyo, Jepun pada tahun 2006 dan Pemenang Purple Island, Nami Concours, Korea pada tahun 2015.

Walau bagaimanapun anak jati dari Menumbok Sabah itu sedang mengalami kemerosotan tahap kesihatan termasuk mengalami penyakit buah pinggang, serta mempunyai kekurangan fizikal akibat kecederaan dan kemalangan.

Majlis pelancarannya disempurnakan Presiden Persatuan Seni Visual Sabah, Afendi Yubah di sini, baru-baru ini.

Berucap pada majlis itu, Afendi merakamkan setinggi penghargaan kepada GAH-UMS dalam memberi peluang kepada ahli-ahli persatuan untuk mempamerkan karya mereka.

“Kolaborasi CSR yang dibawakan oleh GAH-UMS dengan persatuan sangat dihargai, dan diharapkan ia terus berkekalan dalam memberi ruang dan peluang kepada artis-artis tempatan mempamerkan karya masing-masing.

“Kita doakan juga kepada Awang Fadilah terus bersemangat, tabah dan dapat berkarya seterusnya kembali sihat dan bersama-sama dengan kita pada masa akan datang,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles