KOTA MARUDU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Marudu menuntut agar kerusi Parlimen P168 Kota Marudu diberikan kepada calon daripada parti itu bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Bahagiannya Jamil Majingkin berkata, kepimpinan baru UPKO Kota Marudu bersedia untuk menyumbang kemenangan kepada PH.
“Kami sudah membentuk jawatankuasa PRU15 dan bersedia untuk masuk kawasan. Oleh itu kami mohon agar pihak yang terlibat dalam perundingan agihan kuota kerusi Parlimen mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada calon UPKO bertanding di kawasan ini.
“Kami melihat PH mempunyai peluang yang cerah untuk menang jika calon yang bertanding dari UPKO,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Jamil berkata, dalam PH, UPKO adalah satu-satunya parti tempatan Sabah.
“Dengan menilai sentimen parti tempatan yang dilaung-laungkan oleh pengundi amat jelas kehendak dan kemahuan pengundi khasnya di kawasan Parlimen Kota Marudu yang mahukan parti tempatan Sabah.
“Asasnya sangat mudah iaitu UPKO sebagai parti tempatan, kerusi Parlimen P168 Kota Marudu harus diberikan kepada calon daripada UPKO,” katanya.