Bajet 2023 Perkasa Agenda Sekuriti Makanan Negara

Kenyataan Media Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

Advertisements

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyambut baik Bajet 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion dan lebih tinggi berbanding tahun sebelum ini. Peruntukan ini antara lain jelas menunjukkan peranan MAFI dalam melaksanakan pelbagai program, projek serta inisiatif strategik dan bersasar bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara sepanjang tempoh pemulihan ekonomi yang dijangka akan lebih mencabar pada tahun hadapan.
2. Secara keseluruhannya, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.32 bilion kepada MAFI termasuk bagi tujuan perbelanjaan mengurus (OE) sebanyak RM3.78 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM1.54 bilion. Pertambahan sebanyak 10.4% berbanding Bajet 2022 membuktikan keprihatinan Kerajaan dalam memacu sektor agromakanan supaya menjadi sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi. Pelbagai inisiatif baharu dengan mengambil kira aspek pemerkasaan ekonomi, perlindungan sosial dan kemampanan alam sekitar akan dilaksanakan pada tahun 2023.
3. Bagi OE dalam Bajet 2023, MAFI telah menerima keseluruhan RM1.8 bilion di bawah program khusus untuk meneruskan pemberian subsidi dan insentif bagi industri padi dan perikanan untuk tahun 2023. Peruntukan yang diluluskan ini meningkat sebanyak RM500 juta berbanding tahun 2022. Peruntukan ini termasuk RM1.62 bilion bagi subsidi benih, baja dan harga padi termasuk subsidi baja padi huma. Selain itu, insentif hasil tangkapan nelayan juga turut disediakan berjumlah RM178.2 juta.
4. Peruntukan ini adalah lebih tinggi berbanding sebelum ini mengambil kira faktor-faktor seperti jangkaan peningkatan pengeluaran hasil padi sebanyak 2 juta tan metrik berikutan pelaksanaan Program SMART SBB melalui pengurusan sawah secara berskala besar, keperluan benih sebanyak 72,000 tan metrik untuk menampung situasi luar jangka akibat bencana alam seperti kemarau dan banjir, peningkatan harga pasaran bahan mentah dunia akibat kesan pandemik COVID-19 dan konflik geopolitik Rusia-Ukraine dan anggaran kenaikan harga input pertanian seperti baja antara 30 hingga 40%.
5. Bagi DE, peruntukan yang diluluskan meningkat sebanyak RM2 juta berbanding tahun 2022. Ini adalah selaras dengan momentum pelaksanaan projek yang telah memasuki separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan jumlah peruntukan DE sebanyak RM1.54 bilion. Secara keseluruhannya, pelbagai projek akan dilaksanakan oleh jabatan dan agensi di bawah MAFI pada tahun 2023 untuk merancakkan lagi aktiviti pertanian serta meningkatkan pengeluaran dan pendapatan pengeluar makanan.

6. Secara dasarnya, fokus MAFI dalam Bajet 2023 telah diterjemahkan melalui beberapa inisiatif yang diberikan penekanan seperti berikut, antaranya:
(i) Program pelaburan Agrovest oleh Agrobank bagi menyediakan dana permulaan kepada syarikat pemula pertanian berteknologi moden dengan dana RM250 juta;
(ii) Bantuan khas kepada pesawah dengan kadar RM200 sebulan untuk tempoh tiga (3) bulan atau semusim kepada 240,000 pesawah dengan peruntukan sebanyak RM228 juta;
(iii) Pelaksanaan pelbagai inisiatif merangkumi pembangunan kelestarian agromakanan dengan peruntukan sebanyak RM56 juta seperti penghasilan makanan ternakan dengan menggunakan black soldier fly;
(iv) Pengenalan Skim Perlindungan Pertanian untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak bermula dengan pesawah padi; dan
(v) Pelanjutan tempoh galakan cukai bagi projek pengeluaran bahan makanan sehingga akhir tahun 2025 dengan skop galakan yang diperluas untuk merangkumi projek pertanian moden berasaskan Controlled Environment Agriculture.
7. Selain inisiatif-inisiatif di bawah MAFI, terdapat beberapa inisiatif lain yang menyokong agenda sekuriti makanan negara antaranya:
(i) Skim Pembiayaan Agrofood Bank Negara Malaysia (BNM) dengan dana sejumlah RM 1 bilion pada kadar 3.5% bagi pengusaha agromakanan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan negara;
(ii) Dana Pinjaman Kerajaan sebanyak RM10 bilion menerusi BNM kepada syarikat kecil dan sederhana khususnya untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan serta menyokong agenda sekuriti makanan;
(iii) Jaminan pembiayaan sehingga RM9 bilion bagi PKS oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khususnya untuk sektor strategik termasuk agromakanan;
(iv) Pelaburan GLC dan GLIC dalam projek-projek sekuriti makanan sebanyak RM1.35 bilion;
(v) Pelaburan sebanyak RM200 juta di bawah Dana Impak oleh Khazanah yang menumpukan kepada usaha untuk meningkatkan pendapatan dan produktiviti sektor pertanian;
(vi) Tabung Modal Pusingan sebanyak RM100 juta di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menyediakan pembiayaan untuk membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan;
(vii) Pemberian Elaun Modal Dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas perbelanjaan modal bagi memacu produktiviti serta meningkatkan kecekapan khususnya dalam sektor pertanian melalui automasi, adaptasi IR4.0 serta pelaksanaan sistem reban tertutup;
(viii) Pelanjutan insentif cukai bagi syarikat berstatus BioNexus sehingga hujung 2024 bagi meningkatkan produktiviti pertanian serta membangunkan pendekatan pertanian yang lebih mesra alam.
(ix) Projek Ladang Tenusu di Chuping, Perlis dengan RM80 juta;

(x) Program Pembangunan Semula Hasil Baharu dilaksanakan bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu selain getah seperti tanaman makanan jangka pendek dengan peruntukan RM40 juta;
(xi) Program Agropenjara bagi memperluas aktiviti pertanian dan perladangan melibatkan 70 hektar tanah penjara dengan peruntukan berjumlah RM10 juta;
(xii) Program untuk mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah terbiar milik FELDA, FELCRA dan RISDA dan agensi di bawah MAFI dengan keluasan sehingga 800 ekar bagi mengusahakan tanaman makanan;
(xiii) Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia merangkumi galakan tanaman makanan rendah tahap sara diri (SSL) seperti cili, halia dan kobis dalam kalangan isi rumah terpilih melalui bantuan termasuk latihan, modal permulaan, insentif pertanian, pemasaran dan pendigitalan; dan
(xiv) Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) ditingkatkan kepada RM5.2 bilion dengan skop MARRIS diperluas untuk merangkumi kerja penyelenggaraan jalan pertanian negeri di bawah seliaan lembaga kemajuan pertanian.
8. MAFI sebagai peneraju dalam agenda sekuriti makanan negara akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan Bajet 2023 secara cekap bagi menjamin kelangsungan aktiviti di sepanjang rantaian dan subsektor agromakanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat.
9. Inisiatif-inisiatif yang telah diumumkan melalui Bajet 2023 juga selari dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 untuk memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin dalam apa jua keadaan.
10.MAFI melalui Bajet 2023 akan terus mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan sosioekonomi semua kumpulan sasar termasuk pesawah, petani, penternak, nelayan dan pengusaha agromakanan. Peranan barisan hadapan sektor agromakanan negara akan terus diperkasa dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara seiring dengan agenda Bajet 2023 yang responsif, bertanggungjawab dan reformis.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles