KOTA KINABALU: Reruai pameran Universiti Malaysia Sabah (UMS) antara yang menjadi tumpuan utama dalam Karnival Pendidikan Kerjaya Kolej Matrikulasi Kelantan 2022.
UMS yang diwakili Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) hampir tidak ‘cukup tangan’ apabila diserbu pelajar sepanjang pameran yang berlangsung pada Jumaat di Kolej Matrikulasi berkenaan.
Timbalan Pengarah PPSKK, Prof Madya Dr. Julian Ransangan berkata, majoriti pelajar berminat untuk mengetahui bidang pengajian yang ditawarkan selain merasa kagum dengan keindahan kampus UMS.
“Semasa pameran kita telah memberi penerangan tentang peluang-peluang pengajian selain kemudahan yang disediakan universiti kepada para pelajar.
“Kita turut memberi panduan dan tatacara memohon mengikut program-program yang ingin diceburi di UMS.
“Sambutan sangat memberangsangkan, malah ramai yang mengatakan Sabah merupakan antara pilihan utama mereka untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi media semalam.
Julian turut mengucapkan terima kasih kepada urusetia penganjur atas penyediaan kelengkapan pameran dan ruang yang selesa.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Kolej Matrikulasi Kelantan atas kerjasama yang baik sehingga memudahkan persediaan dan urusan sepanjang pameran diadakan.
“Kepada para pelajar sekalian, pihak UMS sangat mengalu-alukan kehadiran anda melanjutkan pengajian ke universiti selain menikmati keharmonian warganya yang berbilang kaum serta keindahan persekitaran kampus yang cukup mempesona,” katanya
Untuk rekod, Kolej Matrikulasi Kelantan mempunyai kira-kira 1,600 pelajar. Karnival pendidikan tersebut telah disertai lebih 21 institut pengajian tinggi dari seluruh Malaysia.