Oleh: Jaafar Abd Wahid
KINABATANGAN : Peranan aktif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatqn Kampung (JPKK)
seharusnya dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan segala permasalahan yang timbul sampai ke pihak atasan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, mereka yang dilantik oleh kerajaan ini adalah individu-individu yang diyakini mampu menyampaikan suara rakyat yang memerlukan.
“Saya menyeru kepada mereka agar memainkan peranan yang sewajarnya selaku pengerusi mereka dilantik oleh kerajaan untuk memastikan apa jua permasalahan dapat dibawa ke pihak berwajib dan mereka ini juga mata dan telinga kepada kerajaan.
“Saya berharap mereka dapat menjalankan tugas dengan baik kerana kita tidak mahu nanti ada pihak lain yang mengambil peranan mereka kerana mereka sepatutnya lebih tahu tentang kampung mereka sendiri,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pengerusi-pengerusi JPKk bagi kawasan DUN Lamag di Pejabat UPPM Lamag di Bukit Garam dekat sini baru baru ini.
Hadir Sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat kawasan Lamag Abu Bakar Gapar ,dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kinabatangan Amri Andimas.
Dalam pada itu, Bung yang juga Wakil Rakyat kawasan Lamag turut berharap agar mereka yang terpilih ini turun padang untuk melihat sendiri keadaan masyarakat di kawasan masing-masing
“Usaha ini perlu menjadi inisiatif mereka atas dasar dan kapasiti sebagai pengerusi di mana mereka seharusnya mengambil tahu, jangan hanya menunggu orang datang ke rumah (tapi) perlu turun padang kalau boleh kena tahu populasi di kampung mereka seperti berapa orang anak muda, berapa orang tua, berapa penduduk berumur 80 tahun ke atas, berapa ibu tunggal dan pesakit terlantar yang harus dibela dan dijaga dengan baik.
“Ini kerana kita sebagai kerajaan tidak semestinya tahu semua benda, sebab itu kita lantik pengerusi ni sebagai ‘react on behalf’ daripada pihak kerajaan jadi penduduk kampung boleh melaporkan kepada mereka” katanya.
Bung berkata,permasalahan yang dihadapi oleh rakyat akan dapat diselesaikan dengan mudah apabila badan itu bertindak mengikut kaedah yang betul.
Jelasnya, masyarakat juga perlu mengetahui dan memahami saluran aduan yang betul agar ia menemui jalan penyelesaian terbaik dalam masa yang singkat bukanya memilih jalan singkat meviralkan isu atau masalah kampung melalui media sosial .
“Kita ada cara dan kaedah kita bekerja, JPKK ada masalah mesti berhubung dengan wakil rakyat masing-masing supaya mereka boleh ‘follow up’ masalah rakyat sehingga peringkat seterusnya’ tambah Bung.