MAFI terus perkasa komuniti agromakanan luar bandar – Ronald

BELURAN: Semarak Tani Keluarga Malaysia @ Beluran merupakan rangkuman produk-produk di bawah MAFI bertujuan untuk membantu memperkasa komuniti agromakanan luar bandar.

Advertisements

Program dua hari berakhir hari ini juga menjadi platform bagi menyampaikan maklumat tentang pendekatan serta dasar-dasar terkini kerajaan secara terus kepada rakyat di peringkat lapangan.

Pelbagai aktiviti seperti Jualan Murah Keluarga Malaysia, My Best Buy Keluarga Malaysia, Kenduri Rakyat, Pameran Jabatan dan Agensi, Program Dialog Industri dan Peningkatan
Kapasiti Nelayan, Program Agropreneur Muda, Sukan Rakyat, Pemimpin Bersama Komuniti dan lain-lain dilaksanakan sepanjang program ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri
Dr Ronald Kiandee ketika merasmikan program itu berkata ini adalah usaha MAFI bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas secara langsung komuniti agromakanan terhadap impak pelaksanaan dasar dan pendekatan kerajaan melalui kementerian serta memberikan jaminan terhadap komitmen serta usaha-usaha berterusan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka.

Pada majlis itu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran menyaksikan sesi penyerahan Pasar Tamu Beluran kepada Majlis Daerah Beluran. Ini merupakan Pasar Tamu ke-4 yang telah dinaiktaraf di Sabah selepas Pasar Tamu Sook, Kudat dan Kunak yang dibangunkan oleh MAFI melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Projek Naiktaraf Pasar Tamu di Beluran telah siap pada pertengahan bulan Mei 2022 di bawah sumber peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang berjumlah RM746,000.

Ronald berkata projek menaiktaraf Pasar Tamu adalah sebahagian daripada program pengukuhan rangkaian peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak dengan matlamat
memperkasakan pemasaran hasilan pertanian melalui pembangunan outlet pemasaran kekal bagi memudahkan urusan antara usahawan dan pengunjung serta pihak berkuasa tempatan.

Katanya
penaiktarafan pasar tamu tersebut memberi manfaat kepada 120 orang peserta sedia ada dalam memasarkan produk-produk mereka sekaligus membantu pengguna untuk
mendapatkan produk-produk pertanian dan industri makanan pada harga yang berpatutan di daerah Beluran.

Dalam majlis yang sama, Ronald telah mengumumkan Penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Paitan yang merupakan PNK ke-15 bagi Negeri Sabah.

MAFI melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah merangka pelan strategik secara holistik merangkumi pembangunan sektor perikanan dan sosioekonomi nelayan sekali gus menunjukkan betapa besarnya sumbangan sektor perikanan dalam pembangunan ekonomi negara.

Penetapan sempadan PNK Paitan adalah dari Kampung Sungai Mapad sehingga Kampung Sungai Memahat serta pulau-pulau di sekitarnya. Antara cadangan kegiatan ekonomi yang akan dilaksanakan di PNK Paitan adalah Projek Agrotourism, Projek
Pemasaran Ikan dan Hasil Laut serta Projek Kontrak dan Pembekalan.

Selain majlis simbolik Perasmian Pasar Tamu Beluran, Ronald juga menyerahkan
Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Laut secara tunai sebanyak RM193,275 kepada seramai 650 orang nelayan laut.

Untuk rekod, nilai bayaran ESHN Laut bagi seluruh nelayan Negeri Sabah bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM22 juta memanfaatkan 7,671 orang nelayan laut.

Manakala, Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Darat di Daerah Beluran di bawah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bagi tahun 2022 bernilai RM534,000 turut diserahkan hari ini
yang memanfaatkan 178 orang nelayan darat.

Selain itu, turut disampaikan projek naiktaraf dan bina baharu 14 buah jeti-jeti di kawasan Parlimen Beluran melibatkan kos keseluruhan RM1.2 juta yang akan memberi kemudahan pendaratan ikan yang lebih baik kepada nelayan-nelayan setempat.

Beberapa penyerahan insentif kepada komuniti agromakanan turut diadakan bersempena Program Semarak Tani Keluarga Malaysia @ Beluran yang merangkumi penyerahan sumbangan kepada asnaf JHEAINS Daerah Beluran dan sumbangan perlindungan
takaful kemalangan diri oleh Bank Pertanian Malaysia (Agrobank), penyerahan peralatan pertanian oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), penyerahan Projek Naik
Taraf Jeti Nelayan oleh LKIM dan penyerahan Kit serta pelepasan lori MAFI Prihatin.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles