KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berharap, para atlet Sabah akan mempersembahkan prestasi terbaik mereka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur bermula pada 16 hingga 24 September ini.
Beliau berkata ini penting kerana kejayaan para atlet terbabit akan sentiasa menjadi legasi kepada generasi akan datang, sebagai sejarah, serta menjadi pengukur kepada pencapaian setiap  sukan di negeri ini.
“Jadi lah `Hero’ dengan catatan rekod terbaik, sekaligus menjadi atlet terbilang dan terus cemerlang,
“Kita bersaing membawa pulang 40 pingat emas dan seterusnya merealisasikan apa yang telah kita impikan sejak sekian lama,” katanya.
Hajiji berkata berkata demikian dalam teks ucapannya sempena majlis penyerahan bendera Sabah kepada Kontinjen SUKMA Negeri Sabah 2022 di sini hari ini.
Ucapan beliau dibacakan Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Ellron Angin.
“Marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa agar Sukan Malaysia Ke-20 kali ini dapat membawa ledakan pencapaian kepada Kontinjen Negeri Sabah,” kata Hajiji.
Seramai 466 orang atlet Sabah akan bersaing dalam 31 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya SUKMA kali ini.
Â
Hajiji turut mengingatkan para pegawai, jurulatih, atlet agar sentiasa mengutamakan aspek dispilin ketika menyertai SUKMA nanti.
“Sehebat mana pun atlet itu, jika tidak berdisplin, keupayaannya itu tidak akan sampai ke mana,” katanya.
Pada temasya SUKMA Ke-19 yang berlangsung di Perak pada tahun 2018, Sabah berjaya merangkul 33 pingat emas, 27 pingat perak dan 45 pingat gangsa.