Penjawat awam tonggak utama kerajaan dan Keluarga Malaysia

KOTA KINABALU – Pengumuman Perdana Menteri pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 baru-baru ini menggambarkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingan penjawat awam sebagai tonggak utama di antara kerajaan dan Keluarga Malaysia keseluruhannya.

Advertisements

Menurut Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr. Mohd Rahimi Abd. Karim, ia menggambarkan aspirasi kerajaan supaya penjawat awam sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan dalam melaksanakan dasar kerajaan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pemegang taruh.

“Melalui gesaan agar penjawat awam menerap dan memperkasa budaya intrapreneurship dalam organisasi awam, Perdana Menteri mengajak semua penjawat awam supaya lebih kreatif, inovatif dan responsif dalam menyelesaikan permasalahan dan memenuhi keperluan rakyat.

“Dengan menggangap organisasi awam sebagai sebuah entiti seperti syarikat yang mementingkan kecekapan operasi dan survival, penjawat awam boleh membantu kerajaan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan serta mengoptimumkan penggunaan sumber dengan mengelakkan ketirisan dan pembaziran.

“Bantuan kewangan yang diumumkan Perdana Menteri seperti bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 dan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri dan kerajaan dalam membantu penjawat awam mengatasi kenaikan kos sara hidup dalam persekitaran ekonomi global yang masih mencabar,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Beliau turut bersetuju yang bantuan kewangan itu sedikit sebanyak akan membantu meringankan beban penjawat awam terutama ketika awal tahun 2023 yang biasanya memerlukan lebih banyak perbelanjaan berbanding bulan-bulan yang lain.

Tambahnya lagi, melalui peningkatan gaji dan bantuan awal tahun 2023 itu, kuasa beli penjawat awam akan bertambah dan ini bakal membantu merancakkan ekonomi negara apabila penjawat awam berbelanja.

Beliau turut berpesan agar penjawat awam dapat menggunakan bantuan khas kewangan itu dengan berhemah.

“Mereka perlu berbelanja dengan bijak, dengan mengutamakan pembelian produk keluaran tempatan dan meningkatkan tabungan atau pelaburan mereka demi masa hadapan.

“Penjawat awam tidak seharusnya berbelanja dengan boros atau menambah hutang baharu yang boleh menjerumuskan mereka kepada risiko perangkap hutang dan kesulitan kewangan pada masa hadapan,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles