KOTA BELUD: Anggota Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengesyorkan agar sistem pemantauan banjir diwujudkan di daerah itu.
Beliau berkata langkah itu penting bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan banjir, sekali gus melicinkan operasi pemindahan penduduk setiap kali berlaku banjir.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata beliau sudah mengusulkan perkara itu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Kita bagi penekanan tadi, kita sudah minta dengan pegawai yang berkenaan iaitu sistem monitoring (pemantauan) dan alhamdulillah di Kota Belud ini akan diwujudkan.
“Jadi, kita boleh monitor bagaimana keadaannya. Ada beberapa tempat ini kita tiada penyelesaian yang cepat, ia mengambil masa.
“Maka saya telah meminta pihak berkenaan untuk membina rumah pemindahan dan jika banjir berlaku belum ada lagi penyelesaian maka mereka boleh berpindah di situ,” katanya ketika meninjau projek tebatan banjir di Kampung Siasai Jaya, di sini, hari ini.
Turut hadir jurutera JPS Jaffri Bahan.
Salleh berkata beberapa projek meninggikan tebing sungai bagi mencegah banjir telah dilaksanakan di beberapa kampung di daerah tersebut.