KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat menjayakan Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia di empat buah lokasi anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN).
Pengarah PPSKK UMS, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim berkata, empat lokasi tersebut adalah Tawau, Kinabatangan, Putatan, dan Kota Kinabalu Sabah.
“Pada pameran ini, kita telah memberikan penerangan berkaitan program-program yang ditawarkan di UMS kepada ibu bapa dan para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Kita juga telah memberi panduan tentang syarat-syarat kemasukan selain memberi galakan kepada para pelajar untuk sentiasa bersemangat melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat yang tertinggi,” katanya.
Fiffy berkata demikian ketika dihubungi media di sini hari ini.
Menurutnya, PPSKK turut merakamkan ucapan terima kasih kepada PRIHATIN atas jemputan yang disifatkannya amat bermanfaat kepada kepada masyarakat khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
“Program ini amat wajar untuk diteruskan bagi memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai anak-anak Sabah mengetahui seterusnya melanjutkan pengajian mengikut bidang yang ingin diceburi.
“Disamping itu, mereka juga boleh berinteraksi dan bertanya secara terus sekiranya ada persoalan yang ingin diajukan termasuk bantuan-bantuan yang boleh dipohon terutamanya bagi kalangan pelajar yang kurang berkemampuan.
“Tahniah saya ucapkan kepada PRIHATIN atas inisiatif ini, dan bagi pihak PPSKK UMS, kita akan sentiasa memberi kerjasama penuh terhadap program-program memasyarakatkan ilmu seumpama ini,” ujar Fiffy.
Untuk rekod, siri Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia yang berakhir esok (24 Ogos 2022) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu disertai lebih 25 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, serta Institut Kemahiran Tinggi dan rakan strategik.
Program yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak tahun 2016 itu bertujuan membantu pelajar yang tercicir dan tidak mampu menyambung pelajaran akibat masalah ekonomi.
UMS sertai Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia
Advertisements