Pertembungan “Dr Jeffrey lwn Jake Round 2” bakal mewarnai gelanggang kuntau politik Parlimen Keningau

KOTA KINABALU: Selepas menang dengan majoriti tipis 45 undi pada pilihan raya umum ke-14, presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dijangka berdepan sekali lagi seteru politik Datuk Jake Nointin dalam pertarungan “Round 2” di pentas kuntau politik nasional PRU ke-15.

Advertisements

Jake merupakan antara nama-nama pencabar utama yang disebut-sebut sebagai bakal calon bagi Parlimen Keningau.

Pada PRU14, Jake turun gelanggang atas tiket Warisan tetapi kali ini, beliau berkemungkinan menyarung jersi dacing PBRS-BN pada PRU15.

Turut menjadi sebutan ialah Ketua PKR Sabah Dr Sangkar Rasam dan bekas Adun Liawan daripada Warisan Rasinin Koutis.


“Saya sedia bertarung sekali lagi jika diberi peluang oleh pucuk pimpinan PBRS-BN,” kata Jake.

Meskipun dalam perkiraan kertas Dr Jeffrey mempunyai kelebihan sebagai penyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah namun pemerhati politik meramalkan dengan jentera pilihan raya yang teratur dan didokong oleh Umno, Jake masih berpeluang melakukan “knockout” dalam saingan kuntau politik pusingan kedua yang dijangka menarik perhatian ramai.

Menurut pemerhati politik, bukan mudah untuk menewaskan Dr Jeffrey, seorang pemimpin politik veteran yang ‘fames’ peringat akar umbi namun mereka berpendapat ia bergantung penuh kepada “mood” terkini pengundi di kawasan itu yang meliputi DUN Tambunan, Liawan dan Bingkor.

Selain itu, ketiga-tiga kerusi DUN tersebut dimenangi calon STAR pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas. Jika keputusan PRN itu diambil kira sebagai indikasi, Dr Jeffrey bolehlah dikatakan berada di kedudukan aramati.

Bagaimanpun, para pemerhati politik berkata tiada yang mustahil dalam arena politik seperti kata pepatah “langit tidak selalu cerah” dan adakalanya gelap.

Untuk rekod, Dr Jeffrey pernah tewas kepada presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup dalam saingan PRN bagi kerusi DUN Sook suatu ketika dulu, meskipun Dr Jeffrey dilihat sebagai favorit pada waktu itu.

Kemunculan pengundi muda Undi18 yang ramai pada PRU15 juga boleh merubah aliran dan arah sokongan rakyat terhadap mana-mana parti politik yang akan bertanding.

Menurut pemerhati politik akar umbi, pengundi terutama golongan muda amat bijak menilai sama ada wakil rakyat mereka telah berjaya atau sebaliknya menunaikan janji yang mereka lafazkan pada PRU14, termasuk isu berkaitan PTI dan MA63.

Menurut mereka, golongan muda tidak lagi mudah terpedaya dengan permainan laungan dan retorik politik, semata-mata untuk meraih sokongan.

“Seperti yang berlaku di negara lain yang mana para pemimpin atau wakil rakyat sering bertukar ganti, saya fikir tiada masalah amalan itu jadi kenyataan di Parlimen Keningau selaras dengan prinsip demokrasi.

“Mengikut pemerhatian saya sendiri, Datuk Jake bukan juga calang-calang…beliau adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat, humble, senang didampingi rakyat dan selalu turun padang menemui rakyat akar umbi,” kata pengundi Parlimen Keningau, Aina Gontuong.

Aina Gontuong

Pemerhati politik sependapat masih terlalu awal untuk membuat rumusan arah sokongan rakyat bagi Parlimen Keningau namun pertarungan Round 2 ini pastinya hebat dan menarik.

Siapa yang menang KO atau adakah calon yang muncul sebagai “giant killer” sama-sama kita tunggu PRU15.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles