Sabah komited jayakan Wawasan Kemakmuran Bersama

KOTA KINABALU: Sabah komited untuk memastikan kejayaan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) sebagai payung dan kerangka agenda pembangunan di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

Advertisements

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, yakin dan percaya bahawa kemakmuran menyeluruh bagi rakyat akan dapat dicapai melalui tanggungjawab bersama, termasuk hubungan rapat di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) akan terus komited untuk bekerjasama dengan SIRIM serta lain-lain agensi, demi memastikan harapan rakyat untuk sebuah negeri dengan ekonomi yang maju dan tawaran pekerjaan yang pelbagai akan terlaksana.

“Saya percaya bahawa SIRIM, melalui kepakaran teknikal dan pengalamannya, akan dapat membimbing para pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di Sabah untuk mengubah diri mereka menjadi perusahaan yang dinamik, inovatif dan didorong oleh teknologi,” katanya semasa merasmikan Hari Keterlibatan SIRIM Bersama Industri yang diadakan di sini hari ini.

Terdahulu, Dr. Joachim berkata, jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Sabah ialah RM80 bilion dan pada masa ini sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK ini hanyalah 7.5 peratus.

Katanya, sumbangan oleh sektor pembuatan mesti mencapai sekurang-kurangnya 35 peratus agar Sabah menjadi sebuah ekonomi yang lebih maju.

“Justeru, saya menaruh harapan tinggi kepada SIRIM untuk turut sama menyumbang ke arah pembangunan ekonomi di Sabah dan bekerjasama dengan agensi kerajaan negeriuntuk membantu meningkatkan pertumbuhan industri, khususnya sektor pembuatan di negeri ini.

“SIRIM telah banyak menyumbang kearah pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana di Sabah (PMKS).

“Kewujudan SIRIM sebagai salah satu agensi terawal di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah menjadi pemangkin kepada agensi kerajaan persekutuan yang lain untuk menubuhkan kemudahan di KKIP.

“Kehadiran SIRIM di Sabah adalah sangat relevan dan merupakan pelengkap kepada keperluan kualiti dan standard bagi industri tempatan,” katanya.

Dr. Joachim juga berkata, Sabah tidak boleh lagi menggunakan kaedah yang sama dalam membangunkan ekonomi seperti yang telah dilakukan selama beberapa dekad lepas.

“Kita perlu sedar dengan kepentingan bakat, teknologi, inovasi, automasi, kawalan kualiti dan yang paling penting, kita perlu menyelaraskan inisiatif dan program kita untuk menyokong perniagaan tempatan.

“Hanya dengan itu, kita boleh meletakkan diri kita untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan menggapai kekayaan untuk rakyat Sabah.

“Saya percaya program hari ini yang diselaraskan oleh SIRIM dan rakan kongsinya, akan memberi manfaat kepada industri dan usahawan di Sabah untuk menerima dan mengadaptasi teknologi dan inovasi untuk perniagaan anda,” katanya, sambil berharap para peserta program itu akan mengambil peluang untuk menjalin hubungan dan kerjasama, membuka potensi perniagaan yang belum diterokai dan bersama-sama, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Program Keterlibatan SIRIM Bersama Industri itu menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan teknologi dalam usaha meningkatkan produktiviti industri dan usahawan di Sabah.

Kira-kira 300 wakil dari agensi kerajaan, industri, persatuan, institusi pengajian tinggi dan usahawan tempatan dari pelbagai sektor termasuk industri makanan & minuman, industri pertanian, perikanan, penternakan dan perladangan serta industri pembinaan di Sabah telah hadir pada program tersebut.

Bertemakan “Merapatkan SIRIM dengan Komuniti dan Industri”, program pada hari ini menekankan kepada kepentingan penyelidikan dan pembangunan, pengurusan tenaga, kualiti, latihan, pengujian dan pensijilan.

Sementara itu, Pengerusi SIRIM Berhad, Tan Sri Ir. Dr. Ahmad Tajuddin Ali berkata, bagi membantu merancak dan menyokong ekonomi di Sabah, SIRIM telah membuka hab baharu di pejabat SIRIM Sabah dalam bidang tentukuran atau calibration, melalui anak syarikatnya iaitu SIRIM Standards Technology Sdn Bhd.

“Hab penentukuran baharu ini, menawarkan perkhidmatan penentukuran elektrikal, suhu, tekanan, jisim dan dimensi selaras dengan komitmen Kumpulan SIRIM untuk terus meningkatkan perkhidmatan dan lebih mudah diakses oleh pelanggan terutama di Sabah,” katanya semasa Program Keterlibatan SIRIM Bersama Industri.

Beliau berkata lagi, kewujudan perkhidmatan penentukuran di negeri di bawah bayu itu adalah untuk menyokong saranan dan permintaan daripada pelbagai pihak sama ada daripada agensi mahupun industri di Sabah.

“Kewujudan SIRIM sejak tahun 1975 dan dengan lebih 40 tahun pengalaman, mampu menawarkan aplikasi teknologi dan peningkatan produktiviti dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, minyak dan gas, serta perkhidmatan.

“Melalui aktiviti pembangunan usahawan, SIRIM telah berjaya membantu lebih 1,000 pengusaha di seluruh Sabah dalam pelbagai jenis perkhidmatan seperti pengujian, latihan, perundingan, pembangunan dan pematuhan standard, pembangunan produk, automasi, penambahbaikan proses dan sebagainya,” kata Dr. Ahmad Tajuddin.

Pada majlis yang sama, SIRIM turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) dalam bidang penyelidikan melalui perkhidmatan teknikal dan pembangunan produk atau sistem bagi meningkatkan kebolehupayaan pengeluaran produk pertanian atau produk siap dalam usaha menangani isu keselamatan makanan khususnya di Sabah.

Ia juga bertujuan mewujudkan kerjasama dalam melestarikan usahawan atau peserta bimbingan LKTNS melalui latihan, bimbingan, audit teknologi dan pembangunan usahawan serta peningkatan produk, proses dan aplikasi ke arah Kualiti 4.0 dan Industri 4.0.

MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato’ Indera Dr Ahmad Sabirin Ashad yang mewakili SIRIM, manakala LKTNS diwakili oleh Encik Shaheddrul R Joddari, Pengurus Besar, LKTNS.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles