PUTATAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengkaji semula kerelevanan pengoperasian pos-pos keselamatan di Sabah, khususnya di kawasan perbatasan bagi memastikan kawasan sempadan negeri ini tidak mudah ditembusi dan menjadi laluan akitiviti rentas sempadan.
Panglima 5 Divisyen Kem Lok Kawi, Sabah, Mejar Jeneral Abdul Rahman A Wahab berkata langkah itu penting bagi menyesuaikan kedudukan pos-pos keselamatan dengan tuntutan semasa.
Beliau berkata keadaan keselamatan di negeri ini terkawal dan setakat ini tiada petanda wujud keadaan kucar-kacir.
Abdul Rahman berkata ATM sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya pihaknya terus berusaha memelihara dan menjaga keselamatan serta kedaulatan negeri Sabah.
Beliau berkata demikian selepas melaksanakan Perbarisan Ulung Panglima Lima Divisyen di Kem Lok Kawi, Putatan hari ini.
Upacara perbarisan itu diadakan sempena pelantikannya sebagai Panglima Lima Divisyen pada 4 Julai lepas.