KOTA BELUD: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berbangga dengan kejayaan pesilat negara kelahiran Kota Beludl Nor Farah Mazlan dan Mohammad Amiruddin Azmi yang masing-masing meraih pingat emas dan gangsa pada kejohanan dunia pencak silat di Melaka baru-baru ini.
Beliau yang juga Adun Usukan berkata kejayaan itu membuktikan bahawa anak jati Kota Belud mampu mencapai kejayaan di dalam bidang sukan sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada anak jati Kota Belud, Nor Farah Mazlan dan Mohammad Amiruddin Azmi yang telah mengharumkan nama negara dan daerah ini.
“Kedua-dua mereka dinobatkan sebagai pemenang pingat Emas bagi kategori Kelas F Puteri dan pingat Gangsa dalam Kategori Lelaki Kelas H,” katanya.
Salleh berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Semarak Gemilang Keluarga Malaysia 2022 di perkarangan majlis daerah Kota Belud semalam.
Turut hadir pada majlis yang diselitkan dengan sesi penghargaan pemenang Kejohanan Dunia Pencak Silat itu ialah Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Supian Musa.
“Apabila kita menyaksikan Jalur Gemilang berkibar dan lagu Negaraku dinyanyikan pada kejohanan Dunia ini, pastinya sebagai rakyat Malaysia terbit rasa bangga melihat mereka berdua menjulang nama negara dalam bidang masing-masing,” katanya.
Salleh berkata perasaan ‘kekitaan’ dan cinta kepada tanah tumpah negara menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara ini.
“Maka sematkan lah dalam hati rasa kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi kepada negara berdaulat ini,” katanya.
Beliau menyeru rakyat supaya
mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sepanjang bulan kemerdekaan.
“Marilah kita bertekad untuk menerap mentaliti dan menyuntik sikap peduli dalam kalangan masyarakat supaya memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara yang gah ini,” katanya.