BEAUFORT: Nasib seorang ibu tunggal bersama lima lagi orang anaknya mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam.
Salimah Ponori, 58 dan anak-anaknya hanya menumpang tempat tinggal di rumah penduduk kampung di Kampung Bukau, di sini pada Jumaat.
Ruslan berkata, tujuan kunjungannya adalah untuk mengetahui masalah yang dihadapi oleh Salmiah.
Menurutnya lagi, Salmiah adalah dalam kategori B40 namun tidak berdaftar.
Ruslan telah mengarahkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan untuk membantu mendaftarkan Salmiah dalam e-Kasih.
“Ini supaya Puan Salmiah mendapat bantuan yang diharap akan meringankan bebannya,” kata Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Berhad.
Dalam kunjungan berkenaan, Ruslan turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Salmiah untuk membeli barangan keperluan harian.
Sementara itu, Salmiah bersyukur dan berterima kasih kepada Ruslan atas kunjungan dan bantuan yang dihulurkan.
Ruslan turut menziarahi seorang warga emas daripada masyarakat Cina yang berumur 86 tahun dalam DUN berkenaan.