Salleh optimis pelaburan domestik GLC mampu tingkatkan ekonomi negara

KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diyakini mampu membantu meningkatkan ekonomi negara terutama era paska pandemik Covid-19.

Advertisements

Keyakinan itu dizahirkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk syor para sarjana yang melihat pentingnya intervensi ekonomi dan peranan kerajaan bagi memperbaiki keadaan ekonomi yang perlahan.

Dalam hal ini, beliau berpendapat sektor swasta, terutama syarikat-syarikat yang besar seperti syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia dan GLC perlu turut sama memainkan peranan dalam menyokong proses pemulihan ekonomi.

“Oleh itu, GLCs perlu memainkan peranan dengan melabur dalam pelbagai aktiviti ekonomi pada ketika ini,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook rasmi.

Salleh yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah turut menggariskan beberapa sebab utama mengapa GLC perlu melabur untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Katanya ini termasuk keterbatasan kewangan sektor awam untuk terus membuat perbelanjaan yang tinggi dalam jangka masa panjang.

Justeru, pelaburan di dalam sektor-sektor strategik yang terjejas teruk seperti pelancongan boleh membantu merangsang aktiviti sektor berkenaan dan mengelakkan sesetengah perniagaan dari gulung tikar, katanya.

“Tanpa pelaburan-pelaburan ini, ia boleh menyebabkan sesetengah syarikat-syarikat yang lebih kecil gulung tikar.

“Pada Januari 2020, jumlah pengunjung yang mengunjung Sabah adalah lebih 300,000.

“Bayangkan jika tiap-tiap pengunjung membelanjakan hanya RM1,000 setiap orang. Ini bermakna, kerugian perbelanjaan di dalam pelbagai rantaian ekonomi menurun lebih RM300 juta sebulan,” katanya.

Salleh berkata dengan adanya pelaburan dari GLC, impak dahsyat COVID-19 dan kelembapan ekonomi semasa dapat diminimakan.

Selain itu, beliau berkata pelaburan besar dari GLC berupaya membantu meningkatkan perbelanjaan dan permintaan di dalam ekonomi, sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah dan firma-firma perniagaan serta hasil kutipan cukai kerajaan.

“Penurunan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia pada tahun 2020. Pelaburan dari GLC menyokong proses pemulihan ekonomi negara yang diusahakan pihak kerajaan.

“Apabila pandemik melanda dunia, jumlah pelaburan langsung asing yang memasuki negara mencatatkan penurunan yang sangat tinggi,” kata beliau.

Mengambil contoh rekod pada tahun 2020, Salleh berkata jumlah FDI yang memasuki Malaysia dilaporkan telah turun melebihi 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Jadi, untuk melawan keadaan yang perlahan pelaburan langsung domestik (domestic direct investment) perlu ditingkatkan bagi mengimbangi kekurangan pelaburan langsung asing. Oleh itu, GLC boleh memainkan peranan penting,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles