Sabah tidak miskin jika kerajaan beri tumpuan bangunkan rakyat

KOTA KINABALU: Sabah tidak berdepan masalah kemiskinan hingga menjadi antara negeri termiskin di negara ini jika tumpuan sewajarnya diberikan pemimpin kerajaan sebelum ini untuk membangunkan rakyat dan negeri Sabah.

Advertisements

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Johari Saiman, berkata hanya ketika tidak berkuasa dan menjadi pembangkang mereka menyuarakan perkara itu dan mempertikaikan apa saja yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini.

Beliau berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (BN) yang ada sekarang berusaha melaksanakan perubahan termasuk dengan meningkatkan keupayaan wakil rakyat untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya usaha itu yang diterjemahkan melalui kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran kerajaan yang diluluskan pada persidangan DUN kelmarin, diputar belit pihak pembangkang untuk memburukkan kerajaan.

“Pembangkang bising, naik gaji tapi rakyat susah, kata mereka. Tapi mereka tidak tahu dan lupa apa mereka buat ketika berkuasa, pandai cakap saja.

“Kalau pemimpin-pemimpin ini buat kerja betul-betul ketika sekian lama pegang kuasa, rakyat Sabah tidak miskin seperti hari ini, negeri Sabah bukan negeri nombor dua termiskin dalam negara selepas Kelantan.

“Hari ini rakyat Sabah tidak lagi cerita soal kemiskinan, tentunya rakyat Sabah sudah menjadi rakyat yang kaya raya.

“Tapi kerana mereka tidak bekerja dengan baik dan tidak bersungguh-sungguh maka miskinlah rakyat Sabah sehingga hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menyelar tindakan pembangkang memutar belit kenaikan gaji ADUN dan anggota pentadbiran kerajaan yang diluluskan DUN Sabah kelmarin untuk mengelirukan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika membentangkan rang undang-undang (RUU) Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 itu, antara lain berkata pelarasan saraan (gaji) yang dilakukan itu dapat meningkatkan keupayaan atau tanggungjawab ADUN, termasuk pembangkang serta anggota pentadbiran kerajaan.

“Pelarasan saraan yang dicadangkan melalui RUU ini adalah wajar dipertimbangkan memandangkan tanggungjawab berat yang dipikul oleh Ahli Dewan Undangan dan Anggota Pentadbiran negeri pada masa kini.

“Insha Allah pelarasan ini akan dapat meningkatkan peranan dan tanggungjawab semua Ahli Dewan Undangan dan Anggota Pentadbiran negeri dengan lebih berkesan lagi demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata, semakan terhadap enakmen itu yang kali terakhir dibuat pada 2015 perlu, seiring dengan keadaan semasa dan beban tugas Ahli Dewan Undangan dan Anggota Pentadbiran yang semakin berat dan mencabar serta keadaan fizikal negeri yang luas.

Dengan itu, katanya sudah tiba masanya saraan (gaji) itu disemak semula dan diselaraskan setimpal dengan usaha dan komitmen Ahli Dewan Undangan dan Anggota Pentadbiran.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles