KPLB Sabah teruskan kerjasama dengan beberapa agensi persekutuan bendung masalah kemiskinan

KOTA KINABALU: Kementerian Luar Bandar Sabah terus bekerjasama dengan beberapa agensi Kerajaan Persekutuan bagi membendung masalah kemiskinan di negeri ini.

Advertisements

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Samad Jambri berkata kementerian itu melaksanakan pelbagai langkah holistik bagi merealisasikan wawasan itu.

Beliau berkata ini termasuk menyelaras program-program yang telah diperuntukan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan (KPLB Persekutuan).

Antara program itu ialah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Jalan Penghubung Desa (JPD), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Jalan Luar Bandar (JALB) dan Program Ameniti Sosial (PAMS), katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak semasa sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri Sabah hari ini.

Salleh ingin tahu apakah langkah holistik kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dalam membasmi jurang kemiskinan tegar di Sabah khususnya kawasan luar bandar.

Samad berkata kementerian itu juga bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah bagi melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Fasa 1 Tahun 2022 yang telah dilancarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Pada tahun ini, beliau berkata pihak EPU dan UPEN telah berkolaborasi dengan pihak kementerian dengan mengadakan lawatan ke sepuluh (10) daerah yang tersenarai dalam daerah termiskin di Sabah.

Kolaborasi itu bertujuan mengenalpasti dan menerima cadangan berkenaan dengan aktiviti yang bersesuaian untuk dilaksanakan di daerah masing-masing bagi memastikan daerah-daerah tersebut boleh terkeluar daripada senarai daerah termiskin.

Selain itu, Samad berkata kementerian juga bercadang untuk meneruskan lagi kerjasama dengan beberapa agensi negeri dan persekutuan seperti Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sabah KPLB Persekutuan, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Jabatan Mineral dan Geosains Sabah dan Jabatan Perkhidmatan.

Beliau berkata Kementerian Luar Bandar Sabah turut melaksanakan beberapa program pembasmian kemiskinan.

Ini termasuk Program Kampung Sejahtera, Program MESEJ, Program BALBA dan Program Keusahawanan Luar Bandar.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles