KOTA KINABALU: Gaji bulanan Ketua Menteri, timbalan ketua menteri, menteri, pembantu menteri dan anggota dewan undangan negeri Sabah akan naik sekitar 40 peratus di bawah rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Rang Undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2022 juga memperuntukkan kenaikan gaji untuk Speaker DUN, timbalan speaker dan setiausaha-setiausaha politik.
Gaji untuk Ketua Menteri akan naik daripada RM 23,595.00 kepada RM33,033.00 ; Timbalan Ketua Menteri, RM20,872.60 kepada RM29,221.50; menteri dan speaker DUN RM16,335 kepada RM22,869; pembantu menteri dan timbalan speaker, RM12,705 kepada RM17,787; anggota dewan undangan negeri, RM7,950 kepada RM11,130 dan setiausaha politik, RM5,445 kepada RM7,623.
Rang undang-undang itu juga menetapkan kenaikan gaji itu berkuat kuasa dari 1 Mac 2022
Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2015.
Ketika membentangkan RUU itu, Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata semakan gaji itu dibuat berikutan peningkatan jangkaan daripada rakyat.
Beliau berkata kenaikan itu juga seiring dengan keadaan semasa dan beban tugas Ahli-Ahli Dewan Undangan dan Anggota-Anggota Pentadbiran yang semakin berat dan mencabar serta keadaan fizikal negeri yang luas.
Oleh itu, katanya sudah tiba masanya saraan itu disemak semula dan diselaraskan setimpal dengan usaha dan komitmen Ahli-Ahli Dewan Undangan dan Anggota-Anggota Pentadbiran.