Maximus tidak perlu “berdrama” isu PTI, sudah lama tahu tapi masih angkat BN – Carlye

KOTA BELUD: Kebersamaan Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam menubuhkan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan umpama terus menghalalkan dakwaan Presiden PBS Datuk Maximus Ongkili tanpa melakukan apa-apa untuk menghentikan “parti dalam BN” tersebut daripada terus bertapak di Sabah sekaligus menyebabkan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) terus berlarutan.

Timbalan Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud Carlye Lajimin berkata, Maximus tidak perlu berdrama banyak jika PBS terus bergantung kepada parti komponen BN tersebut dan duduk bersama dalam kerajaan.

“Kenyataan Maximus itu umpama ‘tembak kawan’ tetapi terus bergantung kepada kawan itu dan mahu kawan itu terus berkuasa. PBS adakan perjanjian bertandatangan dengan BN dan PN untuk tubuhkan kerajaan negeri dan turut mengangkat BN sehingga menjadi Perdana Menteri hari ini.

“Adakah Maximus dan parti PBS buat dakwaan yang sama dalam mesyuarat kabinet persekutuan dan kabinet negeri? Dan apakah tindakan drastik yang diambil oleh Maximus susulan dakwaan tersebut?

“Sebenarnya beliau sudah lama tahu dengan apa yang beliau dakwa, tapi yang menghairankan beliau terus juga bergantung dan angkat parti BN itu. Saya sifatkan dakwaan beliau itu satu drama sinetron selepas gagal menyerlah menangani isu-isu hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan selaku menteri yang bertanggungjawab,” katanya.

Carlye berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Maximus yang mendakwa sebuah parti komponen BN menyalahgunakan PATI di Sabah untuk kepentingan politiknya.

“Saya tidak perlu cakap nama parti dalam BN yang pernah menggunakan perkhidmatan PATI. Saya rasa kita semua maklum tentang hal ini kerana penglibatan parti itu meraih undi daripada PATI terbukti dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai PATI di Sabah,” kata Maximus semasa menyampaikan ucapan dasar sebagai Presiden PBS semasa kongres parti tersebut kelmarin.

– Sumber Nabalu News

Related Articles

253FansLike

Latest Articles