Kiau lakar sejarah jadi pusat rehabilitasi Kalawot pertama di Sabah

820

KOTA KINABALU: Kiau yang terletak di kaki gunung Kinabalu bakal melakar sejarah hidupan liar dunia apabila kawasan itu terpilih sebagai Pusat Rehabilatisi Gibbon Borneo (Borneo GReP) yang pertama di Sabah.

Pusat rehabilitasi Ungka atau Kalawot yang diyakini mampu menjadi pemangkin kepada Eco-Edu Pelancongan itu akan diwujudkan di Kampung Kiau Nuluh Kota Belud, membabitkan kawasan seluas 20 ekar.

Projek Rehabilitasi Gibbon Borneo itu akan memfokuskan usaha memulihara dua spesis Ungka yang teramcam iaitu North Bornean Gibbon (Hylobates funereus) dan Abott’s Gray Gibbon (Hylobates abbotti).

Presiden Gibbon Conservation Society (GCS) yang juga Pengarah Projek Borneo GReP Mariani Ramli berkata, projek itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar dan Persatuan Memulihara Warisan Tradisi dan Alam Semula Jadi Kampung Kiau Nuluh (GOMPITO).

“Projek ini akan dilaksanakan secara berfasa. Fasa pertama, kita wujudkan pusat rehabilitasi sementara di Kg.Kiau Bersatu sebelum pusat rehabilitasi kekal diwujudkan di Kg.Kiau Nuluh.

“Pusat rehabilitasi sementara boleh memuatkan sehingga 15 ekor Ungka tetapi untuk permulaan kami hanya menempatkan lima ekor yang kini dibawah jagaan Jabatan Hidupan Liar. Kami akan memantau dari segi kesesuaian cuaca dan persekitaran kawasan perkampungan itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dianggarkan kos mewujudkan pusat rehabilitasi kekal di Kg.Kiau Nuluh dan kos penyelenggaraan mencecah sehingga RM15 juta.

Mariani yang lebih dikenali sebagai Bam berkata, apabila siap kelak pusat rehabilitasi kekal di Kg.Kiau Nuluh, boleh menempatkan sehingga 30 ekor ungka.

“Projek ini memerlukan perbelanjaan yang agak besar. Oleh itu kami amat berharap dapat sokongan dan kerjasama dari pelbagai pihak khususnya kerajaan dari segi dana dan penyelidikan.

“Kami juga berharap dapat berkolaborasi dengan pihak universiti selain penyelidik dan sukarelawan dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata, antara tujuan mewujudkan pusat rehabilitasi itu adalah untuk memacu sektor pelancongan berasaskan eko edu pelancongan, selain meningkatkan kesedaran orang ramai untuk melindungi spesis terancam itu.

“Kami berusaha menjadikan pusat ini sebagai eco-edu tourism seperti di Sepilok,” katanya dan menambah perancangan jangka panjang ialah mewujudkan sebuah klinik haiwan, pusat pemuliharaann yang interaktif dengan pengunjung di kawasan itu.

Mariani berkata, anggaran siap adalah dalam tempoh setahun dan bangunan yang akan dibina di kawasan itu pula berkonsepkan mesra alam sekitar iaitu menggunakan bambu.

“Selain itu pasukan kami juga bercadang untuk menjalankan penyelidikan mendalam mengenai kehidupa Gibbon dan berharap pusat ini nanti menjadi hub penyelidikan Gibbon yang pertama di Malaysia,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada GOMPITO kerana bersetuju menggunakan kawasan komuniti di situ untuk pusat rehabilitasi Gibbon. “Kita juga mendapat sokongan daripada Jabatan Hidupan Liar terutama dari segi permit.

“Kami amat berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick dan GOMPITO serta Jabatan Hidupan Liar atas kerjasama dan sokongan penuh untuk menjayakan projek ini.

Sementara itu Ewon berkata, beliau memberi sokongan penuh projek GReP di Kg.Kiau dan berharap ia dapat dilaksanakan mengikut perancangan pihak pelaksana.