KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mempersoalkan keputusan Kerajaan Persekutuan menanggung subsidi sebanyak RM140 juta untuk tambang percuma komuter RapidKL selama sebulan dan subsidi RM15 juta untuk tambang percuma sebulan bagi perkhidmatan KTM Lembah Klang.
“Pada hemat saya, Perdana Menteri cuba menutup isu ketidakcekapan perkhidmatan monorel di Kuala Lumpur dengan memberikan tambang percuma sebulan kepada pengguna. Jika sebabnya adalah untuk meringankan beban kos, ya, tetapi apakah beban kos akan menurun selepas satu bulan.
“Persoalan paling besar ialah apa untuk Sabah? Timbalan Ketua Menteri Datuk Bung Moktar Radin selaku Menteri Kerja Raya menyatakan Sabah memerlukan peruntukan RM265 juta untuk membaikpulih jalan di seluruh Sabah. Perdana Menteri tidak pula pantas menangani keperluan Sabah ini,” katanya.
Ewon menyatakan pengumuman Perdana Menteri tersebut jelas menunjukkan keutamaan Kerajaan Persekutuan bukan kepada keperluan mendesak rakyat Sabah walaupun diangkat oleh Kerajaan Negeri.
“Sebelum ini, rakyat Sabah diberitahu jika Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan itu satu nada satu gabungan maka kemajuan di Sabah akan lebih mudah dilaksanakan. Hakikatnya tidak. Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengambil tindakan drastik membaiki sistem kesihatan awam di Sabah sepanjang tempoh pandemik Covid-19 sebaliknya Sabah adalah yang terkebelakang dalam program vaksinasi rakyat.
“Perdana Menteri yang ada hari ini juga gagal menjadikan keperluan rakyat Sabah seperti pembaikan jalan-jalan di seluruh negeri sebagai keutamaan. Tidak adil bagi Kerajaan Persekutuan mengeluarkan RM155 juta bagi membiayai program tambang percuma monorel di Kuala Lumpur tetapi keperluan baikpulih jalan-jalan di Sabah tidak diberi peruntukan yang sama,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob mengumumkan program tambang percuma tersebut selepas merasmikan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu hari ini.
Menurut Ewon, Kerajaan Persekutuan harus berhenti mengeluarkan peruntukan membiayai subsidi pengangkutan monorel ataupun membiayai subsidi tol jalan di Semenanjung jika ia gagal menunaikan tanggungjawab perlembagaan untuk memberikan 40% hasil persekutuan di Sabah.
“Di Putrajaya dan Kuala Lumpur, mereka selalu bercakap mengenai ‘bailout’ syarikat-syarikat tertentu, mengeluarkan peruntukan besar untuk subsidi tol dan sebagainya, tetapi tidak mahu melaksanakan tanggungjawab perlembagaan seperti dalam Perkara 112C iaitu memberikan semula 40% hasil persekutuan di Sabah. Ini termasuk memastikan peruntukan yang diperuntukkan untuk Sabah harus terus kekal untuk projek-projek yang telah dirancang di Sabah,” katanya.
Ewon berkata perkara tersebut adalah antara yang beliau akan bangkitkan dalam sidang DUN pada bulan hadapan.