KOTA BELUD: Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang baharu diperkenalkan diyakini mampu merubah landskap industri padi dan beras tempatan di Sabah.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata keyakinan itu berdasarkan kejayaan program SMART SBB di Selangor.
Sejak diperkenalkan pada 23 Februari 2021, beliau berkata program SMART SBB telah terbukti meningkatkan pendapatan dan purata hasil padi sehektar selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.
Beliau berkata projek perintis program itu akan dilaksanakan di daerah Kota Belud sebelum diperluaskan ke daerah lain di negeri ini.
Ronald berharap dengan adanya pengurusan yang baik dan penglibatan swasta, hasil pengeluaran padi di negeri ini dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik berbanding pendekatan sebelum
ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran SMART SBB di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ronald berkata seluas 45 hektar tanah sawah terbiar di daerah Kota Belud melibatkan 40 orang pesawah akan dibangunkan melalui inisiatif SMART SBB), sekali gus akan meningkatkan pendapatan pesawah melalui kerjasama strategik awam-swasta bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
Ronald berkata program SMART SBB dirangka khusus sebagai hala tuju baharu subsektor padi dan beras negara bagi meningkatkan produktiviti dalam mencapai Tahap Sara Diri (SSL) beras 75 peratus, sekaligus mengurangkan kebergantungan import.
Beliau yakin kolaborasi strategik antara MAFI dengan syarikat-syarikat peneraju akan menjadi titik permulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan,.
Menurutnya Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM68.97 juta kepada Sabah bagi tahun 2022 menerusi 3 program subsidi input dan 1 program subsidi output.
Katanya Peruntukan itu dijangka akan memberikan manfaat kepada 45,016 orang pesawah termasuk pesawah padi bukit.
Sementara itu, Ketua Pengarah
Kawalselia Padi dan Beras
Bahagian Pembangunan Industri Padi (IPB) Azman bin Mahmood berkata program SMART SBB merupakan satu revolusi baharu yang diperkenalkan bagi meningkatkan pengeluaran padi di negara ini.
Katanya program yang menyaksikan kolaborasi terus antara peneraju dan petani atau pesawah itu bakal mengurangkan pengaruh orang tengah dalam industri beras dan padi negara.
Menurutnya pihaknya menyasarkan program tersebut dapat meningkatkan pengeluaran Tahap Sara Diri beras antara 75 dan 100 peratus pada masa akan datang,