MAHA 2022 bertemakan “Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan”

SERDANG: Setelah empat tahun tidak diadakan, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) kembali pada tahun ini yang akan diadakan pada 4 hingga 14 Ogos di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Advertisements

Majlis Pra-Pelancaran MAHA 2022 telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee di MAEPS, hari ini.

MAHA 2022 bertemakan “Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan” dengan penetapan tema ini adalah bertepatan dengan tumpuan yang sedang diberikan dalam memperkukuhkan agenda sekuriti makanan negara.

Dalam ucapannya, Ronald menyeru agar semua pihak memberikan komitmen penuh kepada penganjuran MAHA 2022 pada tahun ini yang dijangka bakal menarik 1.1 juta pengunjung selain menyasarkan lebih daripada RM250 juta potensi nilai jualan produk pertanian dan agromakanan termasuk pemadanan perniagaan.

Katanya penganjuran terakhir MAHA pada tahun 2018 telah berjaya menarik seramai 3.3 juta orang pengunjung dan mencatatkan hasil jualan sebanyak RM215 juta.

Menurutnya pada 2020 pula, program secara dwi-tahunan MAHA ini tidak dapat dilaksanakan disebabkan penularan COVID-19 ketika itu.

“Kini, setelah empat tahun, MAHA kembali lagi dan akan menjadi salah satu acara tumpuan yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai.

“Ia selaras dengan hasrat MAFI untuk menjadikan sektor pertanian dan industri makanan sebagai penyumbang utama ekonomi negara, pelbagai program dan pendekatan baharu telah dirangka sepanjang tahun ini,” katanya.

Ronald menambah perlaksanaan MAHA 2022 ini akan menjadi platfom Kementerian bagi mencapai objektif yang disasarkan antaranya aktiviti pemadanan perniagaan, mempamerkan teknologi dan inovasi terbaharu dalam bidang agromakanan, menjelaskan hala tuju dan menyediakan platform untuk perkembangan perniagaan dalam dan luar negara dan menggalakkan penglibatan generasi muda menceburi bidang perniagaan pertanian.

Lebih kurang 1,500 ruang pameran dan jualan akan disediakan pada MAHA kali ini mengikut segmen seperti pameran oleh kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan, ameran oleh syarikat swasta dan badan korporat tempatan, seminar dan konvensyen agromakanan, pengoperasian laman-laman dan rumah negeri, makanan popular Malaysia di Empayar Makanan dan tidak ketinggalan juga, Farmers’ Market, di mana 70 lot jualan akan disediakan untuk menjual hasil pertanian segar dari ladang pada harga yang berpatutan.

Di majlis yang sama, MAFI juga mengumumkan pakej tajaan yang ditawarkan kepada syarikat atau organisasi yang berminat menjadi rakan strategik MAHA serta harga booth untuk pameran sama ada di dalam atau pun di luar dewan.

MAFI sentiasa mengalu-alukan idea dan pandangan semua pihak berkepentingan untuk terus menambah baik pendekatan-pendekatan yang dirangka dan dilaksanakan demi kebaikan sektor agromakanan dan jaminan sekuriti makanan negara pada masa hadapan.

Hadir sama di majlis pra-pelancaran MAHA 2022 itu adalah Timbalan Menteri MAFI 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Datuk Badrul Hisham Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI Azah Hanim dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles