SOOK: Impian ratusan penduduk empat kampung di mukim Dalit untuk menikmati kemudahan dewan serbaguna yang kondusif dan selesa, kini menjadi kenyataan.
Penduduk di situ kini boleh menarik nafas lega apabila Dewan Serbaguna yang sudah lama ditunggu-tunggu itu siap sepenuhnya.
Mereka turut berterima kasih kepada wakil rakyat DUN Sook yang menurut mereka berjiwa rakyat dan amat prihatin dengan permasalahan rakyat.
Seperti yang diharapkan oleh penduduk kampung berkenaan, Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap ADUN Sook Datuk Ellron Angin berbesar hati turun padang menyempurnakan perasmian dewan serbaguna tersebut hari ini.
Dalam ucapannya, Ellron menzahirkan ucapan terima kasih kepada agensi Perbadanan Pinjaman Sabah yang telah menyahut gesaannya agar satu Dewan Serbaguna didirikan di Kg Karamatoi bagi menggantikan dewan mereka yang sudah uzur dan tidak selamat digunakan.
“Saya selaku wakil rakyat di N45 Sook amat berterima kasih kepada agensi Perbadanan Pinjaman Sabah kerana telah menyahut seruan saya untuk menyalurkan sumbangan CSR mereka bagi membina dewan serbaguna kampung Karamatoi, Sook,” katanya.
Ellron berkata ia merupakan satu sejarah bagi empat kampung di Mukim Dalit iaitu Kampung Maliliah, Kampung Karamatoi Laut, Kampung Karamatoi Tengah dan Kampung Kuala Aging ‘kerana mereka telah menerima satu dewan serbaguna yang dinamakan sebagai Dewan Nasimpungan,” tambah Ellron.
Beliau berharap agar dewan yang dibina itu dapat memberikan kelegaan serta keselesaan kepada penduduk kampung untuk menganjurkan pelbagai acara dan program kampung.
“Saya juga mengharapkan agar penduduk kampung terus memelihara dan memanfaatkan sebaiknya kemudahan dewan ini untuk kebaikan warga kampung,” kata Ellron.
“Inilah hasrat dan aspirasi saya selaku wakil rakyat Sook iaitu menyediakan kemudahan infrastruktur yang terbaik untuk warga Sook, hari ini misalnya perasmian Dewan Nasimpungan yang bakal memanfaatkan empat buah kampung sekitar,” kata Ellron
Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Pengerusi Penganjur Encik Ambangau Kankong, ketua-ketua kampung dan pengerusi-pengerusi JPKK keempat-empat kampung tersebut serta warga kampung sekitar.