PPS berjaya tarik pelaburan ke Sabah menerusi penjualan sukuk

SOOK: Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) berjaya membawa pelaburan ke negeri ini melalui beberapa institusi kewangan dan syarikat pengurusan dana melalui penjualan sukuk.

Advertisements

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPS, George Taitim Tulas berkata, setakat ini jumlah pelaburan yang diterima melalui penjualan sukuk adalah sebanyak RM1.71 billion.

“Kesemua pelaburan ini digunakan untuk membiayai pembiayaan peribadi, perniagaan dan projek yang dilaksanakan di negeri ini.

“Keyakinan pelabur terhadap PPS juga mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri yang sentiasa memberi sokongan kuat dan padu kepada PPS,” katanya, sambil berharap PPS juga dapat menawarkan semula kemudahan pinjaman perumahan untuk kakitangan awam negeri.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pusat Pelanggan PPS Sook yang beroperasi di Pekan Baru Sook, di sini, hari ini, Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Ellron Angin.

PPS adalah satu badan berkanun yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah dan beroperasi di bawah Kementerian Kewangan (MOF). Selaras dengan mandat penubuhannya pada 15 Jun 1955, PPS menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan seperti pinjaman peribadi, perniagaan, perindustrian, perumahan, pertanian, social ekonomi dan sebagainya.

Bagi Tahun Kewangan 2021, PPS telah melaporkan keuntungan sebelum cukai teraudit sebanyak RM92 juta dan dapat membantu sebanyak 80,000 orang individu dan syarikat-syarikat tempatan melalui produk dan perkhidmatan yang disediakan.

“Dengan keuntungan yang berterusan ini, PPS dapat meneruskan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang telah dilaksanakan bermula pada tahun 2005. Ini adalah salah satu perkhidmatan PPS dalam usaha membantu golongan “underserved” di negeri Sabah,” kata George.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Kabinet Kerajaan Negeri yang diketuai oleh YAB Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan I, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, serta pentadbiran Kerajaan Negeri yang diketuai oleh YB Datuk Seri Panglima Sr. Hj. Safar Untong, Pengerusi serta semua Ahli Lembaga Pengarah PPS di atas sokongan padu yang diberikan yang membawa kepada kelancaran dan memudahkan lagi operasi dan kelestarian PPS.

Disamping itu, beliau juga berterima kasih kepada semua kakitangan PPS yang sentiasa tegar dalam usaha mereka menjayakan visi dan misi PPS serta gigih dalam penyampaian “Service Beyond Self”, dan semua pelanggan PPS, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC), komuniti dan pihak swasta yang sentiasa setia menyokong dalam semua aspek perniagaan dan perkhidmatan termasuk ‘Sabah Pay’.

“Dengan adanya sokongan padu ini PPS telah mencapai prestasi yang sangat dibanggakan setiap tahun,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles