KM: Semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Sabah perlu diteruskan

KOTA KINABALU: Semangat perpaduan dan kesatuan yang tinggi dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, bangsa serta agama di negeri ini perlu diteruskan dan dimantapkan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, kepelbagaian kaum, bangsa dan agama itulah juga yang telah menjadi teras kepada kekuatan rakyat di Sabah sejak sekian lama.
“Justeru, sempena sambutan Pesta Kaamatan ini saya berharap semangat perpaduan dan kesatuan yang tinggi dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, bangsa serta agama di negeri ini perlu diteruskan dan dimantapkan.
“Semoga kepelbagaian budaya dan bangsa ini dapat menyatukan semua lapisan masyarakat di negeri ini,” katanya dalam perutusannya sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2022, di sini.
Bertepatan dengan tema Pesta Kaamatan iaitu “Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi”, Ketua Menteri berharap agar rakyat negeri ini terus menghargai dan memelihara khazanah alam semula jadi untuk generasi akan datang.
Katanya, Sabah yang kaya dengan keindahan khazanah alam semula jadi juga telah meletakkan negeri ini terkenal sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan flora dan fauna bertaraf antarabangsa kepada pelancong dari dalam serta luar negara.
“Secara tradisinya, Pesta Kaamatan adalah tanda kesyukuran kita di atas hasil tanaman padi yang diusahakan. Justeru, haruslah kita ingat bahawa nilai-nilai yang ada pada Kaamatan juga mewakili alam semula jadi keseluruhnya.
“Kaamatan juga begitu dekat dengan konteks amanat yang diberikan daripada nenek moyang kepada kita dan salah satunya ialah kepercayaan yang diberikan kepada kita sebagai penerus menjaga khazanah alam semula jadi yang ada di negeri ini,” katanya.
Sehubungan itu beliau meminta semua rakyat agar menjadikan sambutan Pesta Kaamatan untuk terus memperingati dan menghormati alam semula jadi yang ada kerana khazanah inilah yang membantu memperkenalkan Sabah ke mata dunia.
Bagi pihak kerajaan negeri, Hajiji turut mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada semua masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus yang meraikannya.
“Sambutlah pesta ini dengan meriah tetapi sentiasalah menjaga kawalan kendiri,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles