Kerajaan komited mengetengahkan keunikan budaya dan tradisi rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited menyokong usaha dan inisiatif setiap daerah bagi mengetengahkan keunikan budaya serta tradisi masyarakat di tempat masing-masing seperti Regatta Lepa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata rakyat Sabah bertuah kerana mempunyai kepelbagaian bangsa dan budaya.
Katanya, sudah pasti kepelbagaian budaya dan tradisi masyarakat di Sabah akan menjadi daya tarikan pelancong ke negeri ini.
“Justeru, penganjuran program seperti ini adalah platform terbaik kepada rakyat khususnya masyarakat Bajau di daerah Semporna untuk mengetengahkan kebudayaan tradisi mereka kepada pengunjung.
“Selain kekayaan dan keindahan biodiversiti, Pesta Regata Lepa ini merupakan satu khazanah yang perlu terus dimartabatkan khususnya untuk generasi muda,” katanya ketika melancarkan Majlis Promosi dan Pengembangan Regatta Lepa Sabah 2022 di Padang Merdeka, di sini malam tadi.
Ketua Menteri berkata pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu dilihat bakal membantu memulihkan ekonomi Sabah yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19.
“Ia kerana penutupan sempadan Malaysia sejak kira-kira dua tahun lalu turut menjejaskan sektor pelancongan negeri yang merupakan antara sumber pendapatan utama ekonomi Sabah.
“Saya yakin penganjuran Pesta Regatta Lepa ini akan terus menjadikan daerah Semporna, sebagai antara destinasi pelancongan dan seni budaya yang terkemuka, bukan sahaja di negeri dan rantau ini tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.
Hajiji turut merakamkan tahniah dan syabas kepada Pertubuhan Kebudayaan Kesenian Bajau Semporna (PEKAS) dan pihak Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah atas usaha dan kerjasama bagi menjayakan Pesta Regatta Lepa Antarabangsa ini yang telah berlangsung bermula 23 Mei sehingga 28 Mei.
Dalam perkembangan yang sama, Hajiji berkata sebagai Presiden Persatuan Bajau Sama Sabah (PBSS) beliau akan berusaha agar cadangan untuk mewujudkan kerusi penyelidikan rumpun Bajau Sama di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dapat direalisasikan.
Terdahulu, Nasir. Dalam ucapannya berkata, PEKAS mencadangkan agar kerusi penyelidikan rumpun Bajau Sama diwujudkan di UMS dan persatuan itu akan memberi sokongan padu dengan cadangan berkenaan.
Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Pengerusi PEKAS, Datuk Nasir Tun Sakaran Dandai.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles