KOTA KINABALU: Anggota Dewan Undangan Negeri bebas Datuk Masiung Banah memerlukan “sedikit masa lagi” untuk meneliti liku-liku politik semasa sebelum memutuskan wadah baharu politiknya.
Beliau yang pernah menganggotai UPKO sebelum meninggalkan parti itu untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya negeri yang lepas berkata beliau tidak akan terburu-buru membuat keputusan, sebaliknya berhati-hati kerana fobia dengan persepsi atau gelaran “katak” yang dilemparlan kepada ADUN yang sering melompat parti.
“Saya menerima tawaran daripada pelbagai parti. Ada yang menawarkan saya jawatan timbalan presiden, naib presiden….banyak tawaran tapi beri saya sedikit masa lagi,” katanya.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar berkata demikian selepas menghadiri Majlis Aidilfitri Bersama Media di sini hari ini.
“Biar saya bertenang dulu dan saya mengambil pendekatan cermin-cermin dulu…teropong-teropong dulu keadaan politik ini..,,tetapi untuk kerajaan, kita sokong kerajaan GRS,” katanya.
Ditanya sama ada beliau berkemungkinan akan kembali ke pangkuan UPKO, Masiung berkata tidak ada yang mustahil dalam politik.