Pesta Kaamatan Perkasakan Kebudayaan KDMR, jadi produk pelancongan – Ellron

NABAWAN: Perayaan Pesta kaamatan diyakini mampu memperkasakan kebudayaan kaum Kadazandusun Murut Rungus (KDMR), sekali gus menjadikannya sebagai salah satu tarikan pelancong.

Advertisements

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata penganjuran pertandingan berasaskan budaya dan tradisi termasuk Unduk Ngadau, Sugandoi dan Sukan Tradisi pastinya menarik hati pelancong.

“Namun, selain daripada acara pertandingan seperti ini, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi juga boleh menarik tumpuan pelancong ke negeri kita khususnya di daerah kecil kita Sook,” katanya.

Ellron yang juga ADUN Sook berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan peringkat Nabawan, di sini pada Sabtu.

Turur hadir ADUN Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Presiden Parti KDM merangkap ADUN Melalap Datuk Peter Anthony.

Ellron berharap semua kaum KDMR dapat meneruskan nilai perpaduan dan toleransi antara satu sama yang lain.

“Pesta kaamatan ini tidak hanya disambut oleh kaum KDMR sahaja malah semua kaum yang lain juga turut serta merayakannya.

“Inilah keunikan yang wajar kita pertahankan bagi mengekalkan keharmonian dan keamanan antara kaum di Sabah,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap keaslian akan keunikan budaya, tradisi dan etnik dapat dipelihara seterusnya tidak ditelan oleh arus pemodenan.

“Saya juga menyeru golongan belia khususnya untuk sama-sama memahami erti sebenar perayaan Kaamatan bagi memastikan budaya kaum KDMR terus terpelihara,” katanya.

Dalam hal ini, Ellron berharap generasi muda dapat mempelajari dan memartabatkan bahasa ibunda kerana “golongan itu adalah penentu kepada kesinambungan hala tuju kebudayaan kaum KDMR pada masa akan datang”.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles