NABAWAN: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) membayar sejumlah RM21 juta dividen terkumpul kepada 7,000 peneroka dan pesertanya pada tahun 2021.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang berpuas hati dengan prestasi LKTNS berkata, pembayaran dividen itu merupakan pencapaian amat baik yang direkodkan dalam tempoh tiga (3) tahun kebelakangan ini.
“Prestasi agihan dividen terkumpul LKTNS pada tahun 2021 kepada peneroka dan peserta adalah berjumlah RM21 juta berbanding RM3.4 juta pada tahun 2020.
“Pemberian dividen ini telah dibayar secara bulanan dan suku tahun sepanjang tahun 2021”.
“Setakat suku pertama tahun ini (2022), LKTNS telah membayar sebanyak RM5 juta dividen, berbanding anggaran belanjawan 2022 sebanyak RM3.4 juta”, katanya pada Majlis Iftar Ramadhan bersama Ketua Menteri di perkarangan Masjid Al-Hidayah dekat sini, semalam.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, untuk tahun ini, LKTNS mensasarkan pemberian dividen sebanyak RM17 juta kepada peneroka dan pesertanya.
Katanya, faktor utama penyumbang kepada pencapaian itu didorong oleh peningkatan pengeluaran hasil sawit iaitu sebanyak 68 ribu metrik tan pada tahun 2021, berbanding 53 ribu metrik tan pada tahun 2020, selain meningkatan harga sawit.
Beliau mahu SLDB terus memainkan peranan penting dalam membantu membasmi kemiskinan masyarakat luar bandar dan meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka melalui pembangunan tanah berasaskan pertanian.
LKTNS kini melaksanakan pembangunan tanah dan penanaman semula sawit di seluruh Sabah melibatkan kawasan seluas 38 ribu hektar dengan tanaman sawit dan sebahagian kecil getah. Projek sosio tersebut telah memberikan manfaat kepada hampir 7 ribu isi rumah yang terdiri daripada golongan B40 dan kira-kira 28 ribu isi rumah yang meliputi isteri dan anak peneroka dan peserta LKTNS.
“Ini yang dilakukan oleh agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri. Kerajaan berharap GLC kerajaan dapat menyumbang sejumlah RM200 juta dividen kepada Kerajaan Negeri”, tambahnya.
Menurutnya, pendapatan negeri hasil daripada dividen yang diterima akan digunakan untuk membina dan meningkatkan pelbagai kemudahan Infrastruktur untuk rakyat.
Katanya, Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) komited membangun rakyat dan negeri Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Sabah (SMJ), yang selari dengan manifesto dan Aku Janji pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.
“Yang penting kita mesti terus bersatu padu, tingkatkan persefahaman dan kerjasama, serta kuatkan Kerajaan GRS-BN. Insya-Allah, kita akan menang dengan bergaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15 yang akan datang”, tegasnya.
Hajiji turut menyerahkan sumbangan bakul makanan dan duit raya kepada golongan asnaf, beras kepada peserta LKTNS daerah Nabawan, sumbangan RM2,000 kepada Masjid Al-Hidayah Nabawan dan simbolik penyerahan pembayaran pendapatan peneroka dan dividen peserta LKTNS tahun 2021 di majlis itu.
Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Puan Flovia Ng, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Wetrom Bahanda, Pengerusi LKTNS, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Haji Ghulam Haidarkhan Bahadar, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan Pengurus Besar LKTNS, Encik Syaheddrul R Joddari.
LKTNS bayar RM21 juta dividen pada 2021 kepada 7000 peneroka
Advertisements