Peralihan ke fasa endemik beri kesan positif pulihkan ekonomi negara – Bung

278

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: Fasa Peralihan ke Endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa jelas memberi kesan baik kepada ekonomi negara berbanding fasa pandemik sejak dua tahun lepas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, kuasa jual beli semakin menunjukkan peningkatan dimana jika diperhatikan pasar raya, pusat beli belah termasuk bazar-bazar ramadan mula dikunjungi oleh orang ramai.

“Rakyat mula keluar untuk urusan menjalankan pernigaaan dan membeli belah begitu juga apabila sempadan negara mula dibuka ekonomi antara bangsa sedikit sebanyak mula meningkat,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Bazar Ramadhan Asia City dekat sini kemarin.

Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya, peralihan ke fasa endemik yang bermula 1 April lepas menjadi permulaan baharu untuk rakyat Malaysia membebaskan diri setelah dua tahun berperang dengan penularan pandemik COVID-19

Katanya peralihan fasa tersebut merupakan strategi yang membolehkan rakyat menjalani kehidupan hampir normal di mana tindakan itu merupakan petanda positif bagi kerajaan untuk memberi peluang kepada rakyat untuk memulihkan ekonomi mereka yang terjejas sebelum ini.

Dalam pada itu, Bung yang juga Ketua Umno Sabah turut mengingatkan rakyat supaya tidak leka dan patuh cara hidup baharu yang ditetapkan kerajaan menjelang negara bakal ‘berdamai’ dengan Covid-19.

Dalam perkembangan yang sama, Bung berkata pergerakan keluar masuk (sektor pelancongan) masih lagi terhad walaupun kedatangan pelancong banyak memberi kesan kepada ekonomi negara seperti membeli-belah, pengangkutan dan hotel.

“Dari segi pelancongan domestik, ia dilihat meningkat kerana rakyat kita mula melancong dalam negara dan kita yakin ini akan berterusan,” katanya.

Turut serta dalam tinjauan tersebut Setiausaha Politik Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Mohd Kurniawan Naim Moktar.