Kemenangan PBS Dun Lumadan Bukti diterima baik rakyat tanpa mengira kaum – Jahid

LUMADAN: Kemenangan Parti Bersatu Sabah (PBS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan merupakan contoh terbaik bahawa PBS diterima baik tanpa memilih kaum atau agama.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim, berkata, semangat kepelbagaian selain mempraktikkan kepelbagaian itu di dalam perlembagaannya membuktikan bahawa PBS menerima sokongan rakyat semua kaum.

“Kemenangan PBS di sini (Lumadan) telah menjawab persoalan benarkah PBS ini parti berbilang kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS N.34 Lumadan, di The GEM Grand Ballroom, dekat sini hari ini.

Katanya, oleh kerana rakyat menerima kepelbagaian dalam perlembagaan PBS, maka Hj Ruslan juga diterima dan sekaligus memenangi kerusi DUN Lumadan.

Jahid menambah, integriti, pengalaman, semangat setiakawan, dan kesatuan, niat, strategi, tindakan, dan calon yang baik juga menjadi kunci utama kemenangan PBS di Lumadan, kerana rakyat semakin yakin dengan perjuangan PBS.

Beliau yang juga Ketua PBS Bahagian Tamparuli, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, menambah, Lumadan di bawah panji-panji PBS kini menjadi sebutan dalam kalangan pemimpin PBS dan kebanyakan ahli, atas kejayaan penuh bermakna ini.

“Peliharalah kesatuan yang ada ini, dan kita harus rasabbangga kerana kitalah pejuang tulen yang sejak dahulu hingga kini tetap berjuang bagi menuntut hak-hak negeri Sabah,”.

Dalam pada itu, Jahid berkata, selagi setiakawan dipegang dan tidak dinodai, dan selagi hak PBS dihormati, PBS juga akan tetap dengan semangat setiakawan, dan tetap setia dengan kerajaan yang sedia ada.

Beliau turut menyeru kepada PBS Bahagian Lumadan agar memperkuatkan ahli dalam kalangan anak-anak muda, dengan menubuhkan Gerakan Belia Beliawanis Bersatu (GBBB) di semua Cawangan.

“Kita harus yakin bahawa kita mempunyai tempat di dalam arus politik perdana. Lumadan di bawah YB Hj Ruslan mesti dipertahankan,” katanya, disambut sorakan penyokong kuat PBS yang hadir.

Justuru, beliau mewakili kepimpinan parti mengucapkan terima kasih kepada pejuang-pejuang di Lumadan, dan ucapan tahniah kepada Hj Ruslan yang menurut beliau mampu mencapai kemenangan itu ‘seorang diri’ tanpa menerima banyak bantuan kempen kerana masing-masing berada di kawasan mereka sendiri pada Pilihanraya Negeri Ke-16 lalu.

“Akhirnya PBS Lumadan telah melahirkan seorang pemimpin yang diyakini oleh rakyat, dan turut melahirkan penyokong-penyokong yang hebat, sehinggakan kemenangan memihak kepada PBS Lumadan pada PRN-16 yang lalu,” kata Jahid.

Terdahulu, Adun Lumadan, Tn Hj Ruslan Muharam, mengingatkan kembali sejarah PBS di N.34 Lumadan, sehinggalah 37 tahun kemudian, beliau memenangi kerusi di kawasan tersebut.

“Harus diingat, bukannya mudah untuk kita mencapai ke tahap seperti pada hari ini, banyak perkara pahit maung telah dilalui,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles