Pesara Guru Berpeluang Teruskan Khidmat Menerusi Persatuan – Jahid

TAMPARULI: Golongan pesara guru berpeluang meneruskan khidmat kepada masyarakat menerusi persatuan mereka.

Advertisements

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, bekas guru masih boleh berkhidmat kepada masyarakat menerusi persatuan yang mereka tubuhkan, dengan mengadakan aktiviti bermanfaat, sesuai dengan kemahiran dan pengetahuan dimiliki mereka.

“Selain menumpukan masa sepenuhnya kepada keluarga, para ahli masih dapat memberi khidmat, agar segala kelebihan mereka dapat dimanfaatkan demi kebaikan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kali Ke-8 Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM) Daerah Cawangan Tamparuli Dan Kiulu, di Bangunan Pusat Latihan Sigma Bantayan, Tamparuli hari ini.

Turut hadir Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan) Rozalind Joannes, mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Wanihim Othman.

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, sumbangan pesara guru sebagai pendidik, dalam melahirkan modal insan negara sentiasa dihargai kerajaan.

Tambahnya, dengan adanya persatuan seumpama itu, peluang mereka untuk memberi sumbangan kepada masyarakat sentiasa ada.

“Tidak ternilai jasa kalian kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Menurut Jahid, anak muda pada masa kini juga merupakan cerminan daripada guru-guru yang pernah mengajar mereka, sekaligus mewarisi pengalaman berguna itu untuk dikongsikan pula kepada generasi seterusnya.

Malah katanya, di peringkat akar umbi juga turut mengguna pakai khidmat para pesara guru berdasarkan pengalaman dan pengetahuan mereka untuk menjadi pemimpin di peringkat kampung dan daerah.

Beliau menegaskan bahawa pelajaran merupakan aspek penting di dalam kehidupan harian, untuk menjadikan hidup lebih bermakna demi mencapai cita-cita dan impian, serta melahirkan modal insan yang baik.

Terdahulu, Yang Dipertua 5PM, Datuk Haji Zulkifli Haji Jaafar berkata, persatuan 5PM kini telah mencapai sejumlah 2,000 ahli di seluruh Sabah setakat ini.

“Kita juga bersyukur kerana masih menerima bantuan-bantuan kerajaan yang amat prihatin kepada golongan pesara seperti kita,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi 5PM, Yatau @ Mohd Azman Ubin, berkata, antara lain perancangan 5PM selepas ini adalah untuk mengadakan program bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli dengan para pemimpin tempatan di sekitar Tamparuli,”.

“Kita ingin memasyarakatkan persatuan bersama dengan Wakil Rakyat di sini, dan bersedia untuk melaksanakan program yang bersesuaian dengan visi dan misi 5PM,” katanya.

Selain itu, para ahli 5PM turut digesa untuk menjayakan kempen keahlian dan merancang pelbagai aktiviti untuk kebaikan ahli, di mana katanya, antara yang bakal dianjurkan adalah Hari Keluarga 5PM.

Untuk rekod, 5PM Cawangan Tamparuli dan Kiulu telah dibentuk dan diasaskan pada tahun 2006, kini telah mencapai ahli seramai lebih 164 orang, dan kini meluaskan keahlian ke kawasan Kadamaian.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles