KUCHING: Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, mengadakan lawatan kerja ke MNS di Kuching, Sarawak pada Sabtu bagi melihat sendiri aktiviti operasi usahawan di negeri itu.
MNS adalah projek usahasama antara FAMA dengan pihak Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Perumahan Sarawak.
Projek ini menyediakan sebuah pasar yang berkonsep moden, bersih, teratur dan lengkap dengan sistem pengurusan sisa buangan yang terkini. MNS dibina bertujuan menggantikan Pasar Satok di lokasi Jalan Satok yang makin usang dan tidak lagi sesuai berikutan masalah saliran, persekitaran yang kotor dan kesesakan lalu lintas.
Kos asas projek adalah sebanyak RM46.6 juta dibina diatas tapak seluas 12.25 ekar di Jalan Matang Petra Jaya, Kuching. MNS menyediakan 995 lot perniagaan di 6 komponen utama iaitu di Blok B (Produk Basah), Blok C (Produk Kering), Blok D (Plaza), Blok E (Gerai Makanan/Minuman), Pasar Borong dan Pasar Minggu dengan jumlah peserta seramai 947 orang. Pada tahun 2021, MNS mencatat nilai jualan sebanyak RM47.8 juta.
MNS telah menerima peruntukan sebanyak RM7 juta dari pihak Kerajaan Negeri Sarawak bagi kerja pembangunan dan naiktaraf seperti kerja pembinaan parking bertingkat, naik taraf di blok B, C dan D.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membangunkan banyak outlet peruncitan yang bertujuan memperkukuh rantaian bekalan serta menambah luang pasaran (outlet) jualan langsung komoditi pertanian dan hasil tani terus kepada kepada pengguna khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar. Melalui outlet-outlet ini rantaian pengedaran dapat dipendekkan selain risiko manipulasi pasaran oleh orang tengah dapat dikurangkan.
Outlet-outlet yang dibangunkan termasuklah dengan kerjasama strategik usahawan peruncitan seperti Rural Transformation Centre (RTC), Pasar Tani Kekal (PTK), Pasar Tani, Gerai Buah-buahan Segar (GBBS), Motosikal Tiga Roda (M3R), MyFarm Outlet, My Best Buy, Agrobazaar Kedai Rakyat, AgroBazaar Rakyat (ABR), Agrobazaar K- Shoppe, dan Agrobazaar Online dan salah satu darinya adalah Medan Niaga Satok (MNS) sendiri. Secara keseluruhan terdapat 1,037 outlet-outlet ini diseluruh Malaysia.
Pada masa yang sama FAMA turut membangunkan infrastruktur pemasaran seperti Program Rural Transformation Centre (RTC), MyFarm Outlet, Pasar Tani, Pasar Tani Kekal. Tambahan lagi pelbagai program dan aktiviti pemasaran serta jualan diadakan di sini seperti program MyRakyat, Jualan Terus dari Ladang sebagai inisiatif membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri akan berterusan bagi memastikan MNS akan terus memainkan peranan yang penting dalam pemasaran agromakanan di Sarawak.
Turut hadir ke program ini, Timbalan Menteri (Pembangunan Wilayah) Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED), Maclaine Ben @ Martin Ben, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Bin Mohd dan Ketua Pengarah FAMA, Dato’ Zainal Abidin Bin Yang Razalli dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sarawak, Dato’ Stanley Tan.