OLEH TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangnews.com
KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak bakal menikmati limpahan dan lonjakkan pertumbuhan ekonomi berikutan pemindahan pusat pentadbiran Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan.
Ahli Akademik dan penganalisis ekonomi, Prof Emeritus, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Dr Barjoyai Bardai berkata: “Perpindahan ibu negara Indonesia, Nusantara ke Kalimantan merupakan satu bonus besar kepada masyarakat Borneo.
Katanya, “Mungkin dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, Borneo termasuk Sabah dan Sarawak akan menjadi negeri yang lebih maju dari segi kadar pertumbuhannya berbanding dengan Malaysia Barat khususnya di Pantai Timur misalnya.”
“Dan kita lihat Indonesia, tidak dapat dinafikan hari ini pun negara itu telah menjadi ekonomi ke empat terbesar di dunia.
“Negara itu ia akan terus membangun dengan pesat kerana masyarakat antarabangsa juga melihat Indonesia sebagai potensi besar untuk melabur kerana ia adalah pasaran yang besar dengan 260 juta penduduk,” katanya kepada DagangNews.Com.
Prof Barjoyai mengulas tentang Nusantara, Kalimantan Timur di Pulau Borneo yang akan menggantikan Jakarta sebagai ibu kota negara Indonesia.
Parlimen Indonesia telah meluluskan terhadap rang undang-undang untuk memindahkan ibu negara dari Jakarta ke tapak terpencil yang dinamakan Nusantara di Kalimantan Timur.
Sebelum itu, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dilaporkan mengumumkan cadangan pemindahan tersebut secara rasmi ketika berucap di Parlimen negara itu, sehari sebelum negara itu menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-74.
Jokowi dilaporkan berkata beliau mensasarkan pemindahan ibu kota negara ke Nusantara sebelum 16 Ogos 2024.
Sementara itu, mengulas perkara yang sama, Prof Datuk Rajah Rasiah, Professor Ulung, Ekonomi, Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya berpendapat limpahan boleh dijangkakan di Sabah dan Sarawak berikutan pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan.
Katanya, ini jika kerajaan kedua negeri itu berusaha melakar strategi berkesan untuk firma menaikkan taraf teknologi supaya pembahagian tenaga kerja serantau menegak dapat dihasilkan.
“Dengan menaik taraf keupayaan teknologi, firma di kedua negeri ini akan menikmati aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi yang boleh membantunya membayar gaji yang lebih tinggi daripada (firma) yang muncul dan berkembang di Kalimantan.
“Jika tidak, kita mungkin melihat orang Sarawak dan Sabah mencari pekerjaan di Kalimantan,” tegas beliau.
Antara faktor yang menjurus kepada cadangan untuk memindahkan ibu negara Indonesia ke Kalimantan ada untuk mengimbangi pembangunan di antara kepulauan negara itu.
Berdasarkan Survei Penduduk Antar Sensus (SUPAS) pada 2015 menyebutkan, sebanyak 56.56 peratus masyarakat Indonesia hanya tertumpu di pulau Jawa.
Jokowi pertama kali mengumumkan pemindahan ibu kota ke Borneo pada 2019, memetik fakta bahawa Jakarta dengan populasi 10 juta orang terdedah kepada banjir, kesesakan dan gempa bumi.
Projek itu kemudiannya ditangguhkan kerana wabak Covid-19.
Kos pemindahan pusat pentadbiran itu akan menelan belanja di bawah AS$33 bilion (RM138 bilion), yang mana negera akan membiayai 19 peratus, dengan selebihnya datang daripada perkongsian awam-swasta dan pelaburan swasta.