KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah akan menyertai 20 daripada 21 jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 di Bukit Jalil, Majlis Sukan Negara Kuala Lumpur yang akan berlangsung selama 10 hari bermula 29 September ini.
Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, antara acara yang akan disertai ialah akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak, gimnastik, hoki, karate, memanah, olahraga, pelayaran, pencak silat, skuasy, tenpin bowling, wushu, angkat berat, Muay Thai, Ragbi, sepak takraw dan tinju.
Beliau berkata Sabah tidak menyertai sukan menembak.
Ellron yang juga bekas acara pecut negara berkata kontinjen Sabah menyasarkan 40 pingat emas pada temasya SUKMA kali ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.
Katanya SUKMA merupakan temasya sukan terbesar di Malaysia yang diadakan secara dwi -tahunan, namun pada tahun 2020, temasya tersebut telah dibatalkan kerana situasi pandemik Covid-19 yang melanda Negara pada masa itu tidak membenarkan penganjuran semua acara sukan secara besar-besaran.
Ellron berkata kementerian itu telah membuat beberapa perubahan polisi dalam Kecemerlangan Sukan di Sabah, termasuk tambahan elaun latihan pada atlet-atlet SUKMA dan PARA SUKMA.
Beliau berkata elaun latihan RM 300 akan diberikan kepada atlet yang sudah tiga kali wakil SUKMA dan RM 500 bagi atlet yang telah empat kali dan ke atas mewakili negeri Sabah ke temasya SUKMA.
Menurutnya kementerian juga sedang mengkaji kenaikan insentif peringkat negeri untuk pemenang pingat Emas, Perak dan Gangsa di kejohanan Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
Ellron berkata Kementerian Belia dan Sukan Sabah sentiasa komited dalam menyediakan Infrastruktur kemudahan sukan di negeri ini.
Dalam hal ini, beliau berkata beberapa Kompleks Sukan sedang dalam pembinaan, termasuk Kompleks Sukan Tongod, Kompleks Sukan Tuaran dan
projek pembinaan Kompleks Sukan Kota Marudu.
Mengenai program belia, Ellron berkata pihaknya akan menganjurkan sambutan Perayaan Khas untuk Belia Negeri Sabah pada bulan Jun tahun ini yang bertemakan “BELIA CEMERLANG.
Katanya program itu akan melibatkan kesemua 12 kementerian dan agensi pembangunan belia, sekali gus memastikan tiada belia yang tertinggal atau ditinggalkan.