Pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti Tidak Wajar ditangguh

 
Oleh Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau
 
KOTA KINABALU: Susulan kenyataan pelbagai pihak, saya berpandangan tegas bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti harus dibentangkan pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung sebagaimana telah dipersetujui bersama sebelum ini.
 
Saya secara peribadi terkejut dengan makluman dan laporan media bahawa RUU ini akan ditangguhkan dan tidak akan dibentangkan semasa sidang yang sedang berlangsung, sekali gus bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), YB Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bulan lalu dan juga semangat Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pakatan Harapan (PH) dengan YAB Perdana Menteri.
 
Keputusan sepihak untuk menangguhkan pembentangan kini menimbulkan pelbagai persoalan dan kerisauan mengenai nasib RUU ini selepas ini.
 
Mengapa keputusan penangguhan ini dibuat secara tiba-tiba tanpa alasan yang kukuh?
 
Betulkah keseluruhan Kabinet tidak bersetuju dengan kandungan RUU ini? Apakah Kabinet kepimpinan YAB Perdana Menteri tidak bersetuju dari awal lagi atau membuat pusingan baru-baru ini? Peruntukan mana yang menjadi halangan kepada Kabinet daripada meneruskan pembentangan di Parlimen pada sidang semasa?
 
YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan YAB Perdana Menteri perlu memberikan jawapan kepada keputusan menangguhkan pembentangan RUU ini.
 
Jika tidak, saya bimbang kepercayaan rakyat ke atas Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri dan juga ke atas PH, yang menandatangani MoU ini, akan tergugat dan terjejas. Rakyat akan menganggap Kerajaan semasa ‘flip flop’ dalam perkara ini.
 
Sebagai pihak yang menandatangani MoU dengan YAB Perdana Menteri, kami, PH, bertanggungjawab kepada rakyat dalam menjawab isu ini. Oleh itu, kita tiada pilihan melainkan meneruskan keputusan membentangkan RUU ini pada sidang semasa.
 
Oleh itu, adalah wajar sidang Parlimen semasa disambung untuk tujuan pembahasan dan diluluskan. Kita boleh melakukan penambahbaikan seterusnya selepas dikuatkuasakan. Kami bimbang sikap dolak-dalik atau ‘flip flop’ ini tidak akan membantu merealisasikan usaha mewujudkan sebuah akta bagi menghapuskan budaya lompat parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles