Rafizi kembali sertai gelanggang politik, bertanding Timbalan Presiden PKR

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli mengumumkan untuk kembali menyertai gelanggang politik dan mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan akan datang.
Beliau berkata keputusan itu dibuat atas kesedaran berdasarkan perkembangan terbaharu politik negara dan menyifatkan amalan politik progresif pelbagai bangsa berada dalam bahaya sekiranya PKR dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.
“Saya menganggotai PKR sejak 1999 kerana saya yakin masa depan Malaysia adalah satu masa depan yang progresif, berbilang bangsa dengan citra idea yang pelbagai.
“Sumbangan saya dalam menubuhkan PH pada 2015 bukanlah semata-mata demi kemenangan dalam pilihan raya, saya bertekad memastikan politik progresif pelbagai bangsa di negara ini dapat dipertahankan ketika itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohd Rafizi yang juga bekas Naib Presiden PKR sebelum membuat keputusan meninggalkan dunia politik pada Disember 2019, berkata beliau terus mendapat desakan daripada penyokong PKR dan PH serta daripada kalangan rakyat biasa untuk kembali ke gelanggang politik. 
Katanya, beliau mengambil masa yang panjang dalam membuat keputusan itu kerana tidak yakin boleh membantu terutama dalam keadaan pandangan beliau adalah disifatkan pandangan minoriti dalam kalangan pimpinan PKR dan PH.
Menurut Mohd Rafizi, selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau menyedari PKR dan PH telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). 
“Saya berpendapat kegilaan mencatur sokongan di peringkat atas sehingga PKR dan PH nampak terpisah dan kaku dari suara rakyat akan dihukum oleh rakyat. Jika PKR dan PH ingin menambat kembali hati rakyat, kembalilah berjuang habis-habisan untuk memudahkan kehidupan harian rakyat.
“Bukan sahaja menuding jari, bawalah penyelesaian-penyelesaian yang masuk akal untuk meyakinkan rakyat bahawa kehidupan mereka boleh menjadi lebih baik jika mereka memilih PKR dan PH.
Usaha menambat hati rakyat seperti ini lebih memenatkan berbanding berbincang di meja rundingan atau di restoran mahal mengenai gabungan politik. Sebab itu saya faham kenapa lebih mudah untuk memilih jalan bergabung politik daripada menambat hati rakyat,” katanya. 
PKR akan mengadakan pemilihan bagi pemegang jawatan 2022 hingga 2025 bermula 13 hingga 18 Mei ini.
— BERNAMA

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles