GRS sebagai entiti, arah kerjasama lebih utuh: Fairuz

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan menyokong penuh keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang kini rasmi berdiri sebagai sebuah entiti.

Advertisements

Katanya, GRS kini akan lebih utuh dengan ‘identiti’ tersendiri yang berdiri sebagai entiti gabungan parti-parti yang bekerjasama, khas untuk rakyat Sabah, pembangunan Sabah dan kebaikan Sabah.

“Saya yakin ini adalah langkah seterusnya yang mana diterajui oleh pimpinan ayahanda kita, YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“GRS kini akan lebih fokus dan kuat untuk bergerak dan bekerja kerana asas kepada GRS kini sudah berdiri dan insyaAllah, pasti akan semakin kuat hari demi hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah itu turut menegaskan bahawa hala tuju GRS adalah untuk terus memastikan segala perancangan dan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan, sekaligus memulihkan negeri Sabah daripada kemelut ekonomi rakyat.

“Dugaan yang menimpa kita bukan sedikit dan saya yakin semua pemimpin yang bernaung bersama di bawah entiti GRS akan terus menjalankan tugas dan peranan kita, dalam memulihkan semuanya, insyaAllah.

“Apa-apa pun, kita akan sentiasa berdiri di landasan utama untuk negeri Sabah, rakyat Sabah dan saya yakin semua parti kompenen yang berada bersama dalam GRS akan bekerja keras untuk merealisasikan segala harapan dan menyelesaikan segala permasalahan rakyat,” jelas Fairuz lagi.

Kelmarin (13 Mac), Hajiji mengumumkan bahawa GRS kini adalah sebuah entiti politik yang telah menerima kelulusan dan disahkan pada 11 Mac lalu.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles