Ronald Lawat Ladang Ternak Ayam Penelur, Pedaging Daerah Hulu Selangor

HuLU SELANGOR: Menteri Pertanian dan Industri Makanan, YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, telah melawat Ladang Ayam Penelur Selasih Aman Sdn. Bhd. dan Ladang Ayam Pedaging Id-Mar Broiler Sdn. Bhd. bagi melihat kelangsungan operasi di ladang-ladang ayam bagi memastikan pengeluaran ayam dan telur terus lancar sekaligus mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan.
Ladang Ayam Penelur Selasih Aman Sdn. Bhd. adalah berkonsepkan “Modern Integrated Bio-Security Farm With Close House” dan telah beroperasi sejak tahun 2005. Anggaran keluasan ladang adalah 40 hektar dengan populasi maksimum ladang sekitar 1.3 juta ekor (termasuk pullet). Populasi semasa ladang pada masa ini adalah 700 ribu ekor (termasuk pullet) dengan pengeluaran sebanyak 550 ribu biji telur sehari.
Manakala, Ladang Ayam Pedaging Id-Mar Broiler Sdn. Bhd di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) mula beroperasi sejak tahun 2019. Ladang dengan keluasan 4 hektar ini merupakan antara penternak kontrak dengan integrator – PTS Food Distribution. Pengeluaran semasa ladang pada masa ini adalah 160 ribu ekor sepusingan.
Dr Ronald berkata, MAFI terus komited memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dan kembali beroperasi dalam skala penuh khususnya dengan pemberian subsidi oleh Kerajaan bagi memastikan bekalan ayam dan telur dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan.
‘Sebanyak RM528.52 juta disediakan oleh Kerajaan untuk pemberian subsidi kepada penternak ayam. Kadar pemberian subsidi sebanyak RM0.60/kg bagi ayam pedaging dan RM0.05/biji bagi telur gred A, B dan C,’ jelas beliau.
Tambah beliau lagi, subsidi ini akan melibatkan penternak persendirian, penternak integrator/semi-integrator dan juga penternak kontrak di mana berdasarkan rekod pendaftaran penternak di seluruh negara, dianggarkan seramai 2,255 orang penternak akan menikmati subsidi ini.
Kerajaan telah mula membuka permohonan untuk pemberian subsidi berkenaan kepada penternak ayam pedaging dan ayam penelur bermula hari ini, 28hb Februari 2022 hingga 6hb Jun 2022 bagi pengeluaran ayam daging dan telur bermula 5hb Februari 2022 hingga 5hb Jun 2022.
Tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70% dari kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.

Advertisements

MAFI akan terus memantau dan berharap langkah intervensi Kerajaan melalui pemberian subsidi kepada penternak dapat menjamin kelangsungan pengeluaran sekaligus menstabilkan kembali bekalan bagi memenuhi keperluan tempatan.
Turut hadir dalam lawatan ini, YBrs. Dr. Suratan bin Kamarudin, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan) Malaysia, YBrs. Dr. Hassuzana binti Khalil, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, YBrs Tuan Azizan bin Mat Hashim, Penolong Pegawai Daerah Hulu Selangor.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles