NAFAS meterai MOU bernilai RM100 juta di Dubai

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Kebangsaan NAFAS menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM100juta bersama ARJ Holding L.L.C, salah sebuah syarikat terbesar berpengkalan di Dubai, UAE untuk mengadakan usaha sama dalam bisnes ternakan ruminan, perdagangan minyak masak dan pembuatan selulos dari bahan biomass.

Advertisements

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Dubai, UAE pada Sabtu lalu, disempurnakan oleh Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Sylvester Entri Muran. ARJ Holding pula oleh Pengerusinya, *Encik Ahmad Sahab Ramadhan Juma.*

Turut menyaksikan perjanjian ini ialah Ahli Jemaah Pengarah NAFAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan NAFAS, Tuan Haji Mohammad Bahrin Bin Abd Karim.

Hadir sama Kaunselor Pejabat Perwakilan Pertanian (Dubai UAE), Mohd Zahirul Naqi bin Shoaib, Pengurus Kanan Pengurusan Perniagaan Baharozaman bin Mohid dan Pengurus Bahagian Pemasaran dan Promosi, Mohammad Fauzie bin Tamin.

Mengulas mengenai MOU yang dimeterai, Entri berkata kerjasama itu antara lain dapat menjalinkan hubungan perniagaan bagi memacu pertanian lestari antara dua negara dan juga titik permulaan ‘peluang perniagaan’ secara besar-besaran melalui teknologi-teknologi yang terkini.

“NAFAS percaya kerjasama sebegini akan digunakan untuk faedah bersama ARJ Holding dan menyumbang kepada penambahbaikan aktiviti yang dipersetujui,” katanya.

Entri berkata, NAFAS dan ARJ Holding akan menyediakan pengaturan terperinci dalam mengenal pasti tanggungjawab masing-masing untuk melaksanakan perjanjian yang terdiri daripada perbincangan, perancangan strategi pelaburan dan pelaksanaan aktiviti pelaburan selepas pemeteraian MoU ini.

“Kedua-dua syarikat akan berusaha untuk membantu dan menyokong satu sama lain untuk skop kerjasama MoU ini yang akan memberi manfaat bersama kedua-dua pihak dan juga Malaysia dan UAE.

“NAFAS akan berusaha dan mengambil langkah bagi menggalakkan kerjasama dalam menjalankan aktiviti pelaburan yang menguntungkan dan meningkatkan sinergi antara kedua-dua pihak mengikut kesesuaian semasa,” katanya .

Majlis pemeteraian MoU itu diadakan bersempena Minggu Pertanian Lestari Malaysia di Expo 2020 Dubai.

Ia adalah satu inisiatif penting yang akan memacu dan meningkatkan peluang pelaburan dan kerjasama dalam pertanian lestari.

Pelbagai program menarik dianjurkan NAFAS pada minggu berkenaan antaranya sesi pocket talk, business matching, sesi pengenalan produk peladang serta demo masakan oleh Chef Rene.

NAFAS berada di Dubai sempena Ekspo 2020 Dubai dari 20 Februari hingga 26 Februari di Pavilion Malaysia yang dihoskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sebagai agensi pelaksana.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles