KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christoper Mandut menyeru agar perbincangan antara parti-parti politik yang ada di Sabah diadakan terhadap cadangan Kementerian Dalam Negeri untuk memberikan Kad Warga Asing sebelum sebarang keputusan dibuat.
Selain itu, Christoper juga berharap perkara tersebut dibawa serta dibahas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terlebih dahulu.
Katanya, Pergerakan Pemuda PBS tidak akan mendiamkan diri sekiranya tiada perbincangan dibuat.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri mengenai cadangan pemberian kada Warga Asing yang telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakyat Sabah.
Christoper menegaskan sebarang pemberian apa-apa dokumen pengenalan diri perlu diteliti dari semua sudut kerana ia adalah isu yang sensitif dan melibatkan perlembagaan.
Beliau juga berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang telah menjelaskan bahawa masih belum ada sebarang keputusan mengenai cadangan Kad Warga Asing itu dan akan membincangkan perkara ini terlebih dahulu dengan jawatankuasa berkaitan dan Kabinet Negeri.
Christoper turut bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh mantan presiden PBS yang juga Huguan Siou (Pemimpin Agung masyarakat Kadazandusun), Tan Sri Pairin Kitingan yang menyatakan bahawa rakyat adalah tanggungjawab Kerajaan dan bukannya yang bukan warganegara.
“Isu pendatang asing tanpa izin (PATI) ini perlu diselesaikan dengan segera dan kuasa politik Kerajaan Negeri dan Pusat perlu bekerjasama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Christoper juga meminta Kerajaan Pusat melipatgandakan usaha mempertahankan kuasa-kuasa imegresen yang melibatkan isu PATI.
Dalam pada itu, beliau bersama dengan semua ahli pergerakan pemuda turut memuji usaha yang diberikan oleh Presiden PBS, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili yang begitu konsisten dalam mempertahankan hak rakyat Sabah di peringkat persekutuan serta mewujudkan hubungan baik yang seiring dengan hala tuju Kerajaan Negeri.
“Ini sekaligus membuktikan Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan untuk mempertahankan hak-hak Sabah dan dalam masa yang sama memelihara hubungan baik persekutuan-negeri bagi memastikan kemakmuran bersama untuk rakyat Sabah,” katanya yang juga Pengerusi KKIP Property Sdn Bhd.
Christoper menyeru kepada semua agar terus bersatu hati dan mempertahankan hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).