KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini harus memberi peluang kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menjalankan amanah dan tanggungjawab dalam membawa Sabah ke arah lebih maju jaya.
Presiden Gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Datuk Fadli Fathullah berkata, rakyat juga perlu bersikap lebih terbuka dan memandang jauh ke masa hadapan dengan menyokong misi kerajaan Sabah.
“Kerajaan hari ini lebih telus dan terbuka dalam mentadbir Sabah untuk ke hadapan.
“Selain itu, kerajaan Sabah dilihat lebih prihatin supaya rakyat di negeri ini lebih maju di masa akan datang dari segi pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Fadli yakin pimpinan kerajaan Sabah yang diketuai oleh Ketua Menteri mampu memajukan Sabah jauh ke hadapan.
“Ketua Menteri mempunyai pengalaman dalam mentadbir dan beliau mempunyai misi yang besar dalam membentuk negeri ini supaya terus berkhidmat untuk rakyat di negeri ini.
“Sudah tentu beliau inginkan memberikan perubahan kepada negeri ini sekali gus kepada rakyat Sabah,” katanya.