Dos Penggalak: UMS Aktif PPV-IPT Bantu Tingkat Vaksinasi

KOTA KINABALU, 17 FEBRUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengaktifkan semula operasi Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV-IPT) UMS bagi pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 sejak 11 Januari lalu sebagai usaha menangani ancaman varian Omicron serta peningkatan kes yang direkodkan di Sabah yang mencecah tiga ke empat ribu setiap hari.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, sehingga kini sejumlah 1,913 suntikan vaksin dos penggalak jenis Pfizer telah diberikan, merangkumi 179 dos kepada kakitangan UMS, 1183 dos kepada pelajar UMS, serta 550 kepada orang awam di sekitar Kota Kinabalu.

“PPV-IPT UMS telah beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang bagi memberikan 100 dos suntikan vaksin dos penggalak setiap hari kepada orang awam berumur 18 tahun ke atas.

“UMS melihat pengambilan dos penggalak ini sangat penting untuk melindungi masyrakat dari kesan penyakit COVID-19 terutama dengan varian Omicron yang semakin menular dalam kalangan komuniti.

“Justeru, pengaktifan semula PPV-IPT UMS ini merupakan satu langkah UMS untuk memperluaskan pemberian vaksin kepada masyarakat, sekali gus mengawal penularan serta mengurangkan peningkatan jumlah kes Covid-19 di negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, adalah amat penting kepada setiap lapisan masyarakat untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dan dos penggalak bagi meningkatkan daya tahan badan dan memanjangkan imuniti terhadap penyakit COVID-19.

“Untuk itu, PPV-IPT UMS juga akan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) melalui pemberian suntikan vaksin kepada kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun.

“Difahamkan kurang dari 10 peratus daripada 411,400 kanak-kanak yang layak menerima vaksin di negeri ini telah mendapatkan suntikan vaksin, justeru usaha ini diharap mampu meningkatkan peratusan pengambilan vaksin oleh golongan tersebut,” kata Taufiq.

Tambah beliau, melihat kepada statistik yang menunjukkan 604 kes positif membabitkan kanak-kanak bawah 11 tahun daripada 5,082 kes yang dicatatkan di negeri Sabah semalam (16 Februari), amat wajar untuk kanak-kanak mendapatkan vaksin secepat mungkin.

“Bagi kanak-kanak, suntikan dos vaksin jenis Pfizer yang diberikan hanyalah 0.2ml, iaitu satu pertiga daripada jumlah dos orang dewasa, untuk itu diharapkan ibu bapa agar tidak merisikokan kesihatan anak-anak dengan memberi sokongan terhadap program imunisasi untuk kanak-kanak.

“Pada masa ini, PPV-IPT UMS masih di peringkat pengumpulan permohonan bagi pemberian suntikan vaksin untuk kanak-kanak, dan dijangka akan mula melaksanakan PICKids pada penghujung bulan Februari ini,” ujar Taufiq.

Untuk sebarang pertanyaan atau temujanji bagi mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Pfizer dan permohonan vaksin untuk kanak-kanak, boleh menghubungi PPV-IPT UMS atau whatsapp di talian 088-329201.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles