Rumah panjang Kg. Lajong juara pertandingan kebersihan dan keceriaan DUN Matunggong

KUDAT: Kampung Lajong dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan kebersihan dan keceriaan rumah panjang di Matunggong.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi rumah panjang Kg. Toporoi dan Kg. Barangkason.

Selaku juara, rumah panjang Kg. Lajong menerima hadiah wang tunai RM1,300 serta pemberian dana khas sebanyak RM20,000 bagi projek pembangunan untuk meneruskan dan memperkasakan lagi usaha penghuni menceriakan kawasan rumah panjang dan menjaga kebersihan.

Manakala, rumah panjang Kg. Toporoi dan Kg. Barangkason masing-masing menerima RM1,000 beserta dana RM15,000 dan RM700 beserta dana RM10,000.

Majlis penyampaian hadiah berjalan dengan jayanya di Mini Dewan Pejabat Daerah Kecil Matunggong, kelmarin.

Para pemenang menerima hadiah lumayan masing-masing yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki.

Menurut Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, pertandingan yang telah bermula pada 11 November lalu ini melibatkan 26 kampung.

“Hadiah lumayan ini adalah sebagai insentif kepada usaha para penghuni ke arah mewujudkan kampung yang cantik, bersih dan lebih terancang.

“Ini termasuk melaksanakan kempen kitar semula dan mewujudkan pusat pelupusan sampah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Julita berkata, program ini akan diteruskan untuk memupuk gaya dan cara hidup sihat dalam persekitaran yang lebih terpelihara.

“Selain pertandingan kategori rumah panjang, pertandingan kebersihan dan keceriaan kampung selebihnya akan dilancarkan dalam tempoh terdekat untuk tujuan dan sasaran yang sama,” katanya.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Willey Lampaki, Pegawai Pemimpin Masyarakat Marius Masain dan wakil dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Duanis Utun yg menjadi sebahagian daripada jawatankuasa pemantau dan juri pertandingan bersama Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat dan Pejabat Kecil Daerah Matunggong.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles