Tanggung Jawab Sosial Korporat Perlu diperkasa – Bung

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Advertisements

KUDAT: Tanggung jawab sosial korporat (SCR) perlu terus diperkasakan kerana ia memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat terutama membantu golongan yang yang memerlukan selain mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata ,dalam proses pemerkasaan peranan CSR, pengupayaan instrumen zakat dan wakaf perlu diberikan keutamaan.

“Dalam melaksanakan program CSR ini Barisan Nasional/UMNO walaupun sebagai sebuah organisasi parti namun tidak terlepas dari memikul tanggungjawab ini untuk menyumbang kepada kemajuan masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kereta jenazah sumbangan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Kudat kepada masjid Jamek kampung Pengaraban dekat sini kemarin.

Program tersebut merupakan salah satu pengisian program Permukiman Ahli dewan undangan Negeri Kelab Penyokong Kerajaan yang berlangsung selama tiga hari di daerah Kudat.

Bung yang juga Ketua Umno Sabah berkata tanggungjawab parti bukan sahaja memperkukuhkan parti dan kerajaan namun turut memenuhi kehendak dan memberi penambahbaikan nilai kepada masyarakat agar mereka lebih dekat parti dan kerajaan.

Bung berkata, walaupun konsep CSR ini teori daripada Barat, dari sudut lain ia dilihat selaras dengan tuntutan Islam yang menekankan ciri perniagaan tidak bertujuan mencapai kejayaan material sahaja. Ciri perniagaan dalam Islam juga menekankan kepentingan menjaga kebajikan sosial masyarakat sekeliling.

“Ini dapat dibuktikan dengan tuntutan mengeluarkan zakat dan galakkan mewakafkan harta. Penubuhan institusi zakat bertujuan membasmi kemiskinan dan membantu kebajikan sosial masyarakat. Begitu juga institusi wakaf yang bertujuan membangunkan sosioekonomi sesebuah negara” katanya.

Sambil menghargai usaha yang dilakukan oleh Pergerakan Pemuda Umno bahagian Kudat Bung yang juga Pengerusi BN Sabah berkata ,Impak daripada aktiviti ini dapat dimanfaatkan bersama bagi mencapai kesejahteraan masyarakat. Ia dapat memperbaiki taraf kehidupan masyarakat dan pada masa sama menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara.

Menurut Bung ketika negara dilanda pandemik COVID-19 BN/UMNO juga turut memainkan peranan menghulurkan bantuan bakul makanan hampir di seluruh daerah di negeri ini yang bertujuan untuk meringankan beban mereka yang terjejas dengan penularan virus ini.

“Saya berharap semua pemimpin parti di semua bahagian perlu cakna kepada perkembangan semasa selain bencana alam pantau juga beberapa individu yang benar-benar memerlukan bantuan untuk dibantu terutamanya dari sudut kebajikan,” tambah Bung.

Pada majlis tersebut selain penyampaian kereta jenazah Bung juga turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada golongan asnaf dan untuk tabung masjid Jamek kampung Pengaraban.

Hadir sama Timbalan Ketua Umno Sabah Datuk Yakub Khan, ADUN Bengkoka Harun Durbai,Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Raimee Unggi dan Ketua Umno bahagian Kudat Haji Akran Haji Ismail dan Ketua Pergerakan Pemuda Kudat Sufian Abdul Karim.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles