KOTA BELUD: Kerajaan Sabah sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan dan memperkasakan syiar Islam di negeri ini.
ADUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata penyaluran peruntukan termasuk membina masjid baharu membuktikan kesungguhan kerajaan memperkukuhkan pembangunan Islam di Sabah.
Sambil menyambut baik komitmen kerajaan itu, Salleh berkata pembinaan masjid baharu bukan sahaja membantu menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah tetapi juga memberi keselesaan kepada rakyat untuk melaksanakan sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Ini penting kerana Masjid merupakan rumah ibadah bagi mengerjakan solat dan majlis keagamaan serta pusat aktiviti sosial, katanya .
Salleh berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Masjid Baharu Masjid Ar-Rahman Kg Ambong, dekat sini hari ini.
Beliau berkata JHEAINS melalui Kerajaan Negeri telah mengeluarkan peruntukan bagi membina Masjid Ar-Rahman Kg.Ambong.
Salleh berkata pembinaan masjid itu menunjukkan kerajaan sentiasa peka terhadap pembangunan semasa yang diperlukan oleh rakyat terutama di kawasan luar bandar.
‘Sebagai sebuah institusi membina kemajuan ummah, Masjid wajar dijaga dengan baik. Oleh itu, setiap individu Muslim seharusnya menunjukkan iltizam supaya memastikan pengurusan masjid berfungsi sebagai pusat ibadah dan pembangunan ummah,” katanya.
Salleh turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada JHEAINS kota Belud kerana melaksanakan pengurusan pentadbiran yang melibatkan keperluan umat islam termasuk pembangunan masjid dan surau serta tanah perkuburan di daerah itu.
“Semua ini adalah amat penting untuk menjaga kemaslahatan agam islam,” kata beliau.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata walaupun kerajaan sentiasa berusaha memartabatkan kedudukan Islam di negeri ini, namun pada masa sama, agama dan budaya lain bebas untuk diamalkan.
Menurutnya, perkara yang penting ialah sikap saling menghormati antara agama serta budaya yang pelbagai di negeri ini